X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Keroncong berpotensi diangkat produk seni Selangor

Noor Zari (dua dari kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM2,000 kepada wakil Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Selangor.
A
A

SHAH ALAM - Seni keroncong berpotensi untuk dimajukan dan diketengahkan sebagai salah satu produk seni budaya negeri Selangor, kata Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Beliau berkata, penyemarakkan kesenian keroncong dapat menarik lebih ramai anak muda dan pelancong datang ke Selangor.

"Saya berharap kumpulan muzik keroncong dapat menjadi residen artis di hotel sekitar Selangor, membuat persembahan di pintu masuk sempadan seperti Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), di pelabuhan, inap desa dan majlis rasmi kerajaan.

"Usaha bagi memartabatkan kesenian keroncong harus dipergiatkan dan kita semua harus berganding bahu bersama-sama mengangkat kesenian ini sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Merakyatkan Seni Budaya: Wow! Keroncong Selangor 2021 di Warisan Hall Studio Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor pada Ahad.

Dalam majlis sama, Noor Zari turut menyerahkan replika cek sumbangan bernilai RM2,000 kepada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada aktivis serta penggiat seni budaya Selangor, antaranya Majlis Kebudayaan Negeri Selangor dan Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Selangor.

Beliau menambah, keroncong perlu dilihat sebagai satu instrumen untuk dijadikan sebagai pendapatan utama.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) Selasa ini di mana objektif utamanya adalah untuk menjadikan perkara berkaitan kebudayaan termasuk keroncong sebagai wadah sosioekonomi negara.

"Ini bermakna kebudayaan harus dilihat dalam konteks ke mana ia boleh meningkatkan kehidupan penggiat aktiviti ini," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mesran Mohd Yusop berkata, seni keroncong berpotensi besar untuk dikomersialkan dan harus diangkat sebagai identiti kesenian negeri Selangor.

"Penggembelengan unsur budaya ini sebenarnya mampu mewujudkan semangat kekitaan dan muhibbah dalam kalangan masyarakat.

"Rentetan daripada program malam ini, kita boleh merancang program berskala besar melibatkan peserta dan kumpulan dari negara-negara ASEAN.

"Ia sekali gus dapat memperkenalkan Selangor sebagai salah satu negeri yang mempunyai keunikan seni budaya tersendiri," ujar beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!