POS singkir Muthu daripada jawatan presiden

SM Muthu
SM Muthu
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persatuan Olahraga Selangor (POS) hari ini menyingkirkan Datuk SM Muthu daripada jawatan presiden persatuan itu dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap POS.

Keputusan terhadap Muthu, yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan dua lagi pegawai POS dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) persatuan itu yang dihadiri 39 ahli.

Pengerusi bebas EGM yang dilantik Mohamad Zufarsyah Mohamad Idrakisyah mendakwa penyelewengan itu melibatkan dana berjumlah RM110,000 daripada akaun simpanan tetap POS dan juga dana pembangunan yang diterima daripada Majlis Sukan Negeri Selangor.

"Tiga usul diketengahkan iaitu menamatkan jawatan presiden Datuk SM Muthu dan menarik balik keahlian beliau seumur hidup. Usul sama juga dibuat terhadap bekas bendahari (Mohd Fauzi Manivannan Abdullah) dan bekas setiausaha (Abdul Rahim Mohd Noor) POS," katanya ketika ditemui Bernama selepas EGM POS di Wisma OCM di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa dokumen juga dikemukakan sebagai bukti berlakunya penyelewengan dana itu dalam mesyuarat selama tiga jam yang berlangsung dalam keadaan tegang.

Sementara itu, Naib Presiden persatuan itu Warughese Abraham berkata POS akan membuat laporan polis mengenai isu itu dan juga membawanya ke perhatian Pesuruhjaya Sukan.

Sementara itu Muthu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai isu berkenaan.

Artikel Berkaitan: