Pemain perlu ambil iktibar, perketat SOP: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal melepaskan peserta berbasikal sempena program Senamrobik Perdana Peja Trofi 2021 di Padang Bola Sepak Lintau, Manjoi pada Ahad.
Ahmad Faizal melepaskan peserta berbasikal sempena program Senamrobik Perdana Peja Trofi 2021 di Padang Bola Sepak Lintau, Manjoi pada Ahad.
A
A
A

SEMUA pasukan dan pemain diingatkan agar terus berhati-hati dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang musim saingan Liga Malaysia bagi mengelak jangkitan wabak dalam skala lebih besar.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan telah menggariskan SOP yang ketat dan adalah penting bagi mereka yang terlibat memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan untuk mengelak jangkitan berlaku.

"Saya berasa dukacita dengan apa yang berlaku terhadap 20 pemain dalam pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC). Ambil iktibar daripada apa yang berlaku itu dan perlu perketatkan lagi SOP.

"Paling penting adalah SOP kendiri kerana jika kita dijangkiti, ia boleh menjangkiti ramai lagi orang terdekat dan keadaan ini sudah tentu akan merencatkan lagi usaha kita membuka semula negara khususnya dalam sektor sukan," katanya pada sidang akhbar sempena program Senamrobik Perdana Peja Trofi 2021 di Padang Bola Sepak Lintau, Manjoi di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kementerian telahpun berhubung dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai aspek pematuhan SOP sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 kepada mana-mana pemain dan pasukan.

"Tentunya ada prosedur yang ketat. Maka mereka hendaklah ikut prosedur.

"Pada masa yang sama saya amat mengharapkan agar kemeriahan saingan Piala Malaysia yang sedang berlangsung akan diteruskan," katanya.

NSFC dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa pasukan itu terpaksa menarik diri daripada beraksi pada baki perlawanan Piala Malaysia selepas 20 pemain dan empat pegawainya disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mengikut rekod, NSFC mencatatkan rekod paling tinggi Covid-19 menjangkiti kalangan pemain sepanjang pandemik berkenaan.

MFL sebelum ini terpaksa menunda beberapa perlawanan saingan Liga Super apabila terdapat pemain disahkan dijangkiti Covid-19.

Antara pasukan yang pemainnya pernah dijangkiti Covid-19 adalah Kedah Darul Amab (KDA) FC, Kuching City-FC dan Sarawak United.