TMWU rancang rangsang taburan pelancong ke wilayah utara

Di Pulau Pinang, Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) telah merekodkan kehadiran pelancong seramai 27,059 bermula 11 Oktober sehingga 19 Oktober lalu.- Foto123rf
Di Pulau Pinang, Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) telah merekodkan kehadiran pelancong seramai 27,059 bermula 11 Oktober sehingga 19 Oktober lalu.- Foto123rf
A
A
A

GEORGETOWN - Tourism Malaysia Wilayah Utara (TMWU) dalam perancangan untuk mewujudkan kesepakatan antara kerajaan negeri di wilayah utara tanah air iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak untuk merangsang taburan pelancong ke wilayah ini.

Timbalan Pengarahnya, Siti Hajar Yunus berkata, TMWU akan menganjurkan program dan bengkel dalam masa terdekat yang akan dihadiri oleh wakil kerajaan dari empat negeri tersebut, pemain industri serta organisasi yang berkepentingan.

“Setelah aktiviti rentas negeri dibenarkan, sektor pelancongan mempunyai peluang untuk bangkit semula. TMWU bertanggungjawab untuk menggalakkan kehadiran pelancong ke semua tarikan pelancongan yang ada di wilayah ini, tidak hanya terhad kepada lokasi-lokasi kebiasaan yang dikunjungi oleh pelancong.

“Dengan kerjasama daripada semua pihak, kami boleh membantu agensi pelancongan untuk menghasilkan pakej pelancongan yang menarik membabitkan keempat-empat negeri supaya taburan kehadiran pelancong lebih seimbang,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, masih banyak lokasi di wilayah utara yang kurang diketahui oleh rakyat di negara ini seperti yang ada di Perlis, Kedah (selain Langkawi), daerah Seberang Perai, Pulau Pinang dan produk ekopelancongan yang ada di Perak.

“Pilihan percutian rakyat Malaysia sudah pelbagai, ada antara mereka yang mahu mencari pengalaman untuk hidup seperti masyarakat di kampung dan menjalankan aktiviti lasak. Di sini, kami mempunyai banyak produk yang boleh diketengahkan seperti penginapan di rumah inap desa, aktiviti trek hutan, menunggang atv, sukan ekstrem air dan banyak lagi,” katanya.

Siti Hajar berkata, lokasi yang paling terkenal di wilayah utara dalam kalangan pelancong tempatan untuk dilawati adalah Langkawi dan Pulau Pinang yang sejak 16 September sehingga 6 Oktober melalui gelembung pelancongan domestik projek rintis Langkawi, pulau itu menerima seramai 60,504 pelancong dari seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 41,657 daripadanya tiba melalui pengangkutan udara, 11,989 dari Jeti Kuala Perlis atau Kedah manakala 6,858 dari Pelabuhan Langkawi.

Artikel Berkaitan:

Di Pulau Pinang, Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) telah merekodkan kehadiran pelancong seramai 27,059 bermula 11 Oktober sehingga 19 Oktober lalu di 14 pusat tarikan pelancongan yang ada di seluruh negeri manakala data yang diperoleh daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) negeri menunjukkan kadar penginapan hotel di daerah Seberang Perai meningkat sebanyak 65 peratus, hotel di pinggir pantai (75 peratus), hotel dalam bandar raya George Town (45 peratus), hotel di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO (70 peratus) dan hotel di sekitar Bayan Lepas (50 peratus). - Bernama