X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Permohonan bukan bumiputera sertai IKBN, IKTBN masih rendah

Ti Lian Ker
A
A

KUANTAN - Permohonan remaja bukan bumiputera bagi mengikuti latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) masih terlalu rendah.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, setakat ini, dianggarkan penyertaan belia Cina dan India adalah kurang daripada lima peratus pada setiap sesi pengambilan yang keseluruhannya melibatkan sekitar 10,000 pelajar.

"Kita berharap lebih ramai ibu bapa bukan bumiputera memilih IKBN atau IKTBN yang menawarkan sijil dan juga diploma sebagai destinasi menyambung pelajaran, terutamanya kepada mereka yang lebih berminat kepada latihan amali dan kemahiran.

"Tidak dinafikan ada yang mempunyai persepsi bahawa institut ini hanya dibuka kepada golongan tertentu kerana terletak di bawah kementerian, sedangkan tiada langsung had kuota ditetapkan," katanya.

Lian Ker berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Majlis Belia dan Sukan Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Dr Wazitah Mohd Yusof.

Peluang melanjutkan pelajaran di institusi berkenaan, menurut Ti, seharusnya dimanfaatkan sebaiknya kerana selain percuma, penuntut juga menerima elaun sepanjang tempoh pengajian sekitar setahun hingga dua tahun, bergantung kepada kursus diikuti.

"Malah, kadar kebolehpasaran kerja lulusan IKBN dan IKTBN juga adalah sangat tinggi iaitu sekitar 90 peratus kerana pelajar banyak melakukan latihan amali, menjadikan mereka sudah menguasai kemahiran diperlukan dalam bidang kerja sebaik sahaja tamat pengajian," katanya.

IKBN sebagai contoh, menurut Lian Ker menyediakan 13 bidang dengan 172 kursus seperti automotif, hospitaliti, tekstil, penyelenggaraan struktur pesawat, pemasangan paip dan gas dengan syarat umum pengambilan seperti berusia 18 hingga 30 tahun, boleh membaca dan menulis serta tidak pernah terlibat jenayah.

Dalam perkembangan lain, Lian Ker berkata, projek naik taraf dan pembinaan baharu bangunan Kompleks Belia dan Sukan Pahang di Jalan Tun Ismail di sini dengan peruntukan RM30 juta dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Selain menempatkan bangunan pentadbiran dan pusat rekreasi, beliau berkata, bangunan baharu itu juga dicadangkan mempunyai lokasi khas boleh digunakan secara percuma atau disewa pada kadar minimum kepada golongan belia yang hendak memulakan perniagaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!