Tragedi lemas: JBPM Melaka panggil saksi bantu lengkap siasatan

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Beberapa saksi akan dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan kes kematian anggota bomba Mohd Diya Che Jusoh, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Abu Bakar Katain.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti sekurang-kurangnya empat saksi yang akan membantu siasatan dan hasil siasatan insiden itu dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua minggu.

Beliau ditemui ketika mengiringi Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Syed Fazmi Sayid Mohamad yang menziarahi keluarga Mohd Diya di Krubong di sini.

Pada Rabu, Mohd Diya, 46, rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras ketika terlibat dalam operasi menyelamat di Kampung Sungai Putat di sini.

Mohd Diya disahkan meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi Khamis ketika mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

Sementara itu Syed Fazmi berkata, insiden yang menimpa anggota bomba Mohd Diya Che Jusoh telah menyentuh hati Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya diamanahkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menziarah keluarga Allahyarham dan kebetulan saya memang berada di Melaka.

“Jadi saya telah menyampaikan salam takziah Perdana Menteri kepada isteri dan anak-anak Allahyarham. Perdana Menteri berasa sangat dukacita atas kehilangan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham meninggalkan balu Noraida Che Noh, 39, dan empat anak iaitu Muhammad Daniel Hakime, 18, Nurul Ain Balqis, 16, Muhammad Danish Hakim, 12, dan Nurul Annisa Ilya, 9.

Syed Fazmi yang turut menyampaikan sumbangan peribadi Perdana Menteri kepada keluarga berkenaan dan beliau turut dimaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah menguruskan soal kebajikan keluarga berkenaan. - Bernama