KPLB peruntuk RM1.7 bilion projek bekalan air luar bandar Sarawak

KPLB memperuntukkan sebanyak RM1.7 bilion bagi melaksanakan 38 projek BALB diseluruh wilayah Sarawak.
KPLB memperuntukkan sebanyak RM1.7 bilion bagi melaksanakan 38 projek BALB diseluruh wilayah Sarawak.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM1.7 bilion bagi melaksanakan 38 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di seluruh wilayah Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek tersebut merupakan sebahagian tanggungjawab KPLB dalam menyediakan prasarana untuk rakyat khususnya di negeri Sarawak.

“KPLB akan terus membuat penyambungan projek BALB dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah berjalan mulai tahun ini sehingga tahun 2025.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkannya di Dewan Rakyat dan kita mengambil kutipan daripada bajet tersebut untuk 2021 hingga 2025.

“Insya-ALLAH pada minggu hadapan ada pengumuman bajet di peringkat Dewan Rakyat dan kita akan tahu, lebih kurang perbelanjaan yang akan digunakan untuk tahun 2022,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Tangki Air Aras Tinggi dan Simbolik Penyerahan Projek BALB di Kampung Mentong Merau dan Mongkos, pada Jumaat.

Mahdzir meninjau tangki air aras tinggi di Kampung Mentong Merau dan Mongkos pada Jumaat.
Mahdzir meninjau tangki air aras tinggi di Kampung Mentong Merau dan Mongkos pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Mahdzir berkata, projek tersebut bermula sejak 2017 dan menelan kos sebanyak RM112 juta serta telah memberi manfaat kepada 14,385 penduduk di kawasan terbabit.

Menurutnya, pembinaan melibatkan kerja saluran paip sepanjang 165 kilometer, pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti satu juta liter di Kampung Senggai Mawang dan 2.5 juta liter di Kampung Muara Ahi.

“Projek turut melibatkan pemasangan paip ke rumah-rumah dan pembinaan stesen pam penggalak.

“Projek ini boleh menampung lebih kurang 5,000 rumah penduduk. Pembikinan paip rumah-rumah sedang disusun dan kalau semuanya berjalan, maknanya hujung tahun ini, penduduk dapat menggunakan air bersih melalui projek ini,” kata beliau.