Ketua Pemuda, Putera dan Puteri MIC menang tanpa bertanding

K Raven Kumar dipilih menjadi Ketua Pemuda MIC baharu bagi penggal 2021-2024 selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada penamaan sayap peringkat kebangsaan dan negeri parti itu pada Jumaat. - Foto FB Raven Kumar Krishnasamy
K Raven Kumar dipilih menjadi Ketua Pemuda MIC baharu bagi penggal 2021-2024 selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada penamaan sayap peringkat kebangsaan dan negeri parti itu pada Jumaat. - Foto FB Raven Kumar Krishnasamy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar dipilih menjadi Ketua Pemuda MIC baharu bagi penggal 2021-2024 selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada penamaan sayap peringkat kebangsaan dan negeri parti itu pada Jumaat.

Keputusan itu diumumkan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran selepas proses pencalonan selama tiga jam di ibu pejabat parti itu di sini, ditutup pada 1 tengah hari.

Raven Kumar, 38, sebelum ini merupakan Ketua Putera dari 2015 hingga 2018 menggantikan R Thinalan yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda.

Sementara itu, jawatan Ketua Wanita pula bakal menyaksikan pertembungan antara penyandangnya, J Usha Nandhini dengan bekas Ketua Wanita 2013 hingga 2018, Datuk Mohana Muniandy.

Usha Nandhini, 49, pernah menjawat jawatan Ketua Puteri dari 2003 hingga 2013 sebelum menjadi Ketua Wanita setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti pada 2018.

Mohana, 45, tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti pada 2018, namun membuat kemunculan semula pada pencalonan pada Jumaat.

Vigneswaran turut mengumumkan A Kishva, 30, menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Putera bagi menggantikan penyandangnya, S Padmarajah yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Selain itu, R Puvaneswary, 34, diumumkan sebagai Ketua Puteri parti selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan CM Hemalatha yang juga tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pemilihan peringkat sayap parti itu dijadualkan pada 30 Oktober ini.

Penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti termasuk ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC akan berlangsung pada 19 November manakala pemilihan pada 26 November.

Raven Kumar ketika ditemui pemberita berjanji akan meningkatkan taraf hidup pemuda India di negara ini khususnya melalui bidang pendidikan, sukan dan kebudayaan.

“Kami juga akan fokus dan bantu usaha kerajaan dalam pelaksanaan Undi 18,” katanya. - Bernama