UMNO yakin MCA tidak akan tinggalkan BN: Tok Mat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – UMNO yakin MCA tidak akan meninggalkan BN kerana parti komponen itu sangat menyayangi barisan itu dan mahu ia terus dipelihara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bersidang hari ini, mereka langsung tidak membicarakan persediaan mendepani kemungkinan MCA meninggalkan BN.

“Kita (UMNO) tak bincang langsung soal MCA untuk tinggalkan BN. Kita akan berjumpa dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN esok.

“Saya tidak rasa MCA mahu tinggalkan BN, tidak mungkin. MCA sangat sayangkan BN, mereka cuma mahu BN terus dijaga dan dipelihara seperti mana asas pembentukannya,” katanya ketika sidang media di Menara Datuk Onn, hari ini.

Selain itu, Mohamad turut menambah rundingan kerjasama antara UMNO dan Pas yang termeterai pada 5 Mac lalu bertujuan melaksanakan agenda penyatuan ummah untuk memastikan kedua-dua parti berjalan lancar atas landasan yang sama tanpa meminggirkan sesiapa terutama bukan Islam dan bukan Melayu.

“Ini strategi kedua-dua parti iaitu UMNO dan Pas demi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Mungkin lepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN esok, kerjasama UMNO dan Pas berkembang menjadi BN bersama Pas. Kita ikut tertib perbincangan. Jelasnya, kita tidak akan meminggirkan rakan-rakan parti komponen,jika mereka selesa kita akan teruskan. Lagipun MIC sudah nyatakan mereka tiada halangan terhadap kerjasama UMNO dan Pas tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad turut merumuskan hasil perbincangan dalam mesyuarat MT UMNO hari ini, mereka mendapat konsensus untuk menubuhkan Jabatan Pilihan Raya UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Kita baru umumkan, belum ada sebarang lantikan. Jabatan ini akan dikendalikan oleh individu yang mempunyai kepakaran, tak semestinya daripada kalangan MT UMNO. Asalkan beliau boleh bekerja dan jabatan ini diurus dengan baik.

“Setakat ini ia berfungsi dalam skop UMNO, mungkin ia boleh dikembangkan kepada BN. Dulu kita ada ‘war room’ yang wujud secara bermusim, tapi Jabatan Pilihan Raya ini akan sentiasa siap sedia dengan laporan analisis, kaji selidik dan menggerakkan jentera parti di bawah,” ujar Mohamad.