Lupakanlah usaha buru Nur Sajat

Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat
A
A
A

SUDAH terlalu lama kisah usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, 36, menjadi perbualan hangat masyarakat terutama dalam media sosial.

Nur Sajat diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan pada 23 Februari lalu kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.Bagaimanapun, semua teka-teki mengenai keberadaan Nur Sajat terjawab apabila tercetus berita pihak Imigresen Thailand menahannya pada 8 September lalu atas kesalahan memiliki pasport tidak sah. Pada 10 September, dia dihadapkan ke mahkamah di negara itu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM8,343.

Susulan penahanan Nur Sajat, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi usahawan kosmetik itu ke Malaysia.

Berita penahanan Nur Sajat pada awalnya menjadi berita menggembirakan, apatah lagi dia ditahan di Thailand yang pada sangkaan kita, negara itu tentunya akan memberi kerjasama kepada usaha PDRM membawa usahawan kosmetik itu pulang ke Malaysia.

Beberapa hari lalu, Abdul Jalil berkata, PDRM masih menunggu maklum balas pihak berkuasa Thailand berhubung perkara itu dan meminta rakyat Malaysia bersabar.

Namun, kita dikejutkan dengan berita Nur Sajat kini di Australia dan dia berhasrat menetap terus di sana. Menerusi perkongsian video live di Instagramnya, Nur Sajat memaklumkan segala perniagaannya di Malaysia sudah dijual dan akan memulakan perniagaan baharu di Australia.

Menurut Nur Sajat, dia kini sudah berpisah dengan Malaysia dan cukup teruja untuk memulakan kehidupan baharu di negara kanggaru tersebut kerana Australia menerima dirinya sebagai ‘seorang wanita’.

Sukar untuk mempercayai tindakan pihak berkuasa Thailand membenarkan orang yang jadi buruan melepasi sempadan udaranya untuk berhijrah ke negara lain ketika PDRM masih menunggu maklum balas daripada mereka.

Artikel Berkaitan:

Mungkinkah Thailand menganggap permasalahan melibatkan Nur Sajat adalah lebih kepada isu hak asasi manusia atau menerima ‘tekanan’ dari negara tertentu yang turut bersimpati dengan situasi dihadapi usahawan tersebut.

Kita pun tidak mengetahui apakah ‘versi cerita Sajat’ ketika disoal siasat pihak berkuasa Thailand atau pihak-pihak yang mungkin ditemuinya selama berada di negara gajah putih tersebut sehingga Thailand sanggup menghampakan permintaan daripada negara sahabat.

Apa pun berdasarkan laporan berita pada 22 September lalu, Malaysia patut boleh mengagak pendirian kerajaan Thailand berhubung isu itu. Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Thanee Sangrat berkata kes Nur Sajat akan dikendalikan mengikut lunas undang-undang negara itu dan ‘kemanusiaan’.

Yang pasti kini, sedar atau tidak, kita sebenarnya telah meletakkan insan bernama Nur Sajat sebagai selebriti yang turut menjadi buruan media antarabangsa.

Dalam temu bualnya dengan The New York Times, Nur Sajat berkata: “Saya rasa terkongkong di negara sendiri, di tempat saya dilahirkan sebab undang-undang menjenayahkan saya dan menganggap saya sebagai lelaki.”Dibimbangi, selagi pihak berkuasa masih bertegas mahu menangkap usahawan itu untuk diadili, bukan saja imej Malaysia tercemar tetapi kesucian agama Islam akan turut diheret sama dan menjadi sasaran kritikan banyak pertubuhan hak asasi manusia serta media Barat.

Sebaiknya, pihak berkuasa di Malaysia perlu melupakan usaha memburu Nur Sajat dan tidak perlu membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk membawanya pulang. Ada banyak lagi kerja perlu ditumpukan termasuk oleh jabatan agama Islam seperti meningkatkan dakwah dan penerangan kepada generasi baharu umat Islam agar tidak menjadi seperti Nur Sajat.

Usahawan kosmetik itu sendiri mungkin suatu hari nanti secara sukarela menyerah diri apabila sudah puas berada di negara orang dan rindukan tanah air. Jika hal itu terjadi, pihak berkuasa perlu bijak dalam menentukan bentuk hukuman kerana dia telah menjadi selebriti hak asasi manusia dan buruan teraniaya.

* Marzuki Yusoff ialah Penyunting Sinar Harian