Kelantan bakal terima royalti selepas April?

Azmin (tengah) ketika sidang media di UMK di sini.
Azmin (tengah) ketika sidang media di UMK di sini.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan bakal menerima wang royalti minyak selepas April ini apabila selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Kerajaan Persekutuan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Persekutuan telah membayar sebahagian daripadanya namun disebabkan wujud pertikaian isu dalam mahkamah, maka kes mahkamah perlu diutamakan dan diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita telah tunaikan janji kita iaitu bayar terus kepada kerajaan negeri, dan Terengganu tahun 2018 sudah dapat sepenuhnya. Kelantan baharu bayar sebahagian. Namun melalui perbincangan saya dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob tadi (semalam), kerajaan negeri akan meneruskan prosiding tarik balik saman tersebut dan dijangka selesai April ini.

“Selesai pertikaian, kita akan lunaskan. Tidak mungkin bayar sekarang, sebab kes mahkamah mengambil masa untuk proses. Kalau selesai semuanya (kes mahkamah) maka boleh diselesaikan (pembayaran),” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau hadir Program Ministerial Talk Series di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, disini. Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

Artikel Berkaitan: