Selangor mampu urus pembuangan sampah haram

Kerajaan Selangor mempunyai strategi tersendiri untuk menguruskan sisa pepejal dan pembuangan sampah haram di negeri itu walaupun tidak meratifikasikan Perkara 672 dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ng Sze Han)
Kerajaan Selangor mempunyai strategi tersendiri untuk menguruskan sisa pepejal dan pembuangan sampah haram di negeri itu walaupun tidak meratifikasikan Perkara 672 dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ng Sze Han)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mempunyai strategi tersendiri untuk menguruskan sisa pepejal dan pembuangan sampah haram di negeri itu walaupun tidak meratifikasikan Perkara 672 dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, Selangor merupakan negeri pertama yang mempelopori model Project Management Company (PMC) dengan melantik KDEB Waste Management (KDEWM) sebagai anak syarikat milik penuh kerajaan Selangor untuk menguruskan perkhidmatan sisa pepejal dan pembersihan awam dengan lebih efektif dan efisien.

“Walaupun peruntukan adalah terhad berbanding syarikat konsesi yang menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri-negeri menerima pakai Perkara 672, KDEWM mampu mengendalikan kira-kira 7,000 tan sampah sehari yang merupakan angka yang tertinggi di Malaysia dengan sistematik dan berkesan.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, sebanyak pada 874 kes berkaitan pembuangan sampah haram direkodkan di Selangor pada tahun lalu berbanding 1,983 kes pada tahun 2019.

“Penurunan sebanyak 56 peratus ini jelas membuktikan kerajaan Selangor berada pada landasan yang tepat bagi membendung masalah sampah haram ini,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan dalam satu akhbar tempatan pada Rabu mengenai pendirian tujuh negeri yang tidak memperakui akta berkenaan menyebabkan tapak pelupusan haram wujud sehingga mencemarkan alam sekitar.

Sze Han berkata, kerajaan Selangor juga mempunyai pengurusan tapak pelupusan yang sistematik yang diuruskan oleh sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri iaitu Worldwide Landfills Sdn Bhd.

Ujarnya, syarikat tersebut menguruskan tiga tapak pelupusan sanitari di Jeram, Tanjung Dua Belas dan Sabak Bernam serta tiga tapak pelupusan sisa lengai di Sungai Kertas, Dengkil and Kuang.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, PBT juga mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan amaran, kompaun dan notis berdasarkan undang-undang di bawah Seksyen 82 Borang B, Akta Kerajaan Tempatan (Perkara 171); Notis Kerja Tanah di bawah Seksyen 70A, Akta Jalan Parit Dan Bangunan (Perkara 133); dan Notis di bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Perkara 172).

“Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan Pentadbir Tanah turut mengambil tindakan ke atas pemilik tanah tapak pelupusan sampah haram dengan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik agar memulihkan pelanggaran syarat tanah tersebut dan Notis 7B bagi mendapatkan pengesahan terhadap pemulihan yang dibuat.

“Tiada korelasi yang jelas untuk mengaitkan isu sampah haram dan Perkara 672 yang tidak diterima pakai di Selangor kerana berdasarkan penurunan kes pembuangan sampah haram yang direkodkan, akta-akta sedia ada dan tindakan penguatkuasaan oleh PBT di Selangor memadai buat masa ini,” katanya.