Peniaga diberkas jual air ketum

Antara air ketum yang dirampas menerusi serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Jalan Kebun, Shah Alam pada Isnin.
Antara air ketum yang dirampas menerusi serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Jalan Kebun, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peniaga direman tiga hari bagi siasatan lanjut berkaitan rampasan tiga tong berwarna oren mengandungi 222 botol dipercayai berisi air ketum menerusi serbuan di sebuah rumah di Jalan Kebun, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 8.30 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (IPD) Shah Alam.

"Serbuan dijalankan menerusi risikan dan maklumat awam itu juga berjaya memberkas seorang individu berumur 25 tahun.

"Hasil pemeriksaan pihak polis telah menjumpai tiga tong warna oren mengandungi 222 botol plastik air mineral (1.5 liter) dipercayai air ketum," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek sudah berkahwin dan bekerja sebagai peniaga.

"Suspek tinggal menyewa di lokasi kejadian sejak tiga tahun lepas.

"Ujian saringan awal mendapati air kencing suspek negatif dadah dan suspek juga tidak mempunyai rekod lampau," katanya.

Menurutnya, suspek menjual air ketum dengan harga RM10 sebotol kepada pelanggan di sekitar Shah Alam dan Pelabuhan Klang.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan daun ketum dipercayai diperoleh dari negeri di utara Semenanjung.

"Suspek boleh menjual sehingga 400 botol air ketum sebulan dengan harga RM10 sebotol dan setiap 10 kilogram daun ketum yang diproses dapat menghasilkan 60 hingga 70 botol air ketum dan anggaran nilai rampasan air ketum sebanyak RM2,220," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Jika disabitkan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.