Peluang lebih ramai wanita bangkit menerusi perniagaan

Rina (tengah) bersama dua orang usahawan jutawan semasa majlis pelancaran program WBB pada Khamis.
Rina (tengah) bersama dua orang usahawan jutawan semasa majlis pelancaran program WBB pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Wanita Bangkit Berniaga (WBB) melalui Inisiatif Wanita Bangkit yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bakal membuka peluang kepada lebih ramai wanita untuk bangkit melalui perniagaan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan khusus untuk wanita yang terkesan terutama dari segi menjana pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, ia sekali gus akan membantu golongan tersebut mencari jalan keluar daripada kesempitan hidup seterusnya bangkit untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

"Inisiatif ini menfokuskan aktiviti penjanaan melalui sektor formal dan informal di mana wanita dihubungkan kepada peluang pekerjaan di sektor swasta melalui penganjuran Karnival Kerjaya dan Usahawan Wanita.

"Peserta turut diberikan akses kepada platform dan peluang perniagaan atau keusahawanan seperti menjadi ejen atau dropship.

"Inisiatif tersebut bakal memanfaatkan wanita terutamanya golongan suri rumah, B40, M40, wanita yang menjadi ketua isi rumah termasuk ibu tunggal mahupun mereka yang ingin membantu keluarga meningkatkan pendapatan," katanya pada Majlis Pelancaran Program WBB anjuran Richworks International Sdn Bhd (Richworks) di The Ballroom Beauty Health and Beauty HQ pada Khamis.

Mengulas lanjut, Rina berkata, bagi menjayakan inisiatif itu, sinergi dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pemain-pemain industri telah diadakan untuk membantu wanita bangkit serta menjana pendapatan dalam memulihkan ekonomi mereka sekeluarga.

"Dengan menggunakan aspirasi Keluarga Malaysia inilah kementerian bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam merencana pelan tindakan supaya matlamat program akan sampai pada akar umbi iaitu golongan wanita yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH program ini akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada bulan ini juga," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Richworks, Radz Mohd berkata, program WBB merupakan usaha mereka dalam membantu masyarakat terutamanya wanita untuk kembali melihat potensi diri.

Ujarnya, melalui program tersebut, seramai 30 usahawan jutawan akan bergabung tenaga dan berkongsi resipi kejayaan masing-masing bermula 26 hingga 28 November nanti.

"Kami menyasarkan seramai 20,000 wanita menyertai sesi webinar yang akan berlangsung secara dalam talian dan sesi pembelajaran bermula jam 9 pagi hingga 5 petang melibatkan enam sesi.

"Kami akan berkongsi teknik dan strategi betul bagaimana mereka boleh bina bisnes yang berjaya di samping bermentor secara berterusan," jelasnya.

Pada majlis itu juga, Rina turut menyaksikan sesi menandatangani dokumen kolaboratif strategik antara RichWorks bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).