MPOB bidas pihak kritik kerjasama jual 1.62 juta tan minyak sawit

DATUK DR. AHMAD KUSHAIRI DIN
DATUK DR. AHMAD KUSHAIRI DIN
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membidas kritikan pihak tertentu berhubung kejayaan menandatangani perjanjian penjualan 1.62 juta tan minyak sawit negara dengan syarikat China dan Malaysia.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Kushairi Din berkata, penandatanganan empat dokumen melibatkan tiga syarikat China dan empat syarikat Malaysia pada 4 Mac lalu akan membawa kebaikan kepada industri minyak sawit tempatan dan memanfaatkan ekonomi serta pekebun kecil sawit.

Menurutnya, komitmen antara Yihai Kerry (Shanghai) International Trade Company serta PGEO Marketing Sdn Bhd adalah untuk mendapatkan sumber minyak sawit oleh syarikat China iaitu Yihai Kerry daripada Malaysia.

"Ini akan membawa kepada impak ekonomi yang lebih positif serta pendapatan cukai bagi Malaysia, namun, terdapat kritikan dalam ruang maya bahawa perjanjian ini melibatkan dua entiti yang sama-sama berada di bawah Wilmar International Limited," katanya.

Jelas Ahmad Kushairi, walaupun Wilmar memiliki saham dalam PGEO dan Yihai Kerry, kedua-dua syarikat tersebut adalah entiti berasingan.

"PGEO adalah pengeluar minyak sawit manakala Yihai Kerry menghasilkan minyak masak dan lelemak yang boleh dimakan menggunakan bahan mentah yang dibekalkan oleh PGEO.

"Perdagangan antara PGEO dan Yihai Kerry adalah semata-mata satu keputusan perniagaan antara pembeli dan penjual," ujarnya.

Dalam sektor perniagaan, anak-anak syarikat juga bersaing sesama mereka bagi memperolehi perniagaan. Maka, perdagangan antara Yihai Kerry dan PGEO adalah satu amalan biasa di pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Wilmar adalah sebuah syarikat tersenarai yang memegang pasaran modal antarabangsa seperti juga FGV Holdings Berhad dan Sime Darby Plantation Berhad," katanya.

Sehubungan itu, kerjasama itu akan memberi manfaat kepada industri minyak sawit Malaysia, ekonomi negara, serta para pekebun kecil dan rakyat secara keseluruhan apabila harga komoditi meningkat hasil daripada perdagangan yang positif serta peningkatan permintaan minyak sawit, yang juga akan membawa kepada penciptaan pekerjaan.