PRN Melaka: Kerjasama politik peringkat pusat, negeri wajar selari

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Persefahaman dan kerjasama politik di peringkat pusat wajar selari dengan negeri dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara tersebut perlu menjadi pertimbangan utama Barisan Nasional (BN)-UMNO apatah lagi ia melibatkan kerjasama politik kukuh antara parti yang mempunyai aspirasi dan matlamat sama.

Jelasnya, pandangan yang diberikan itu bagi menjawab pertanyaan media mengenai pendirian beliau berhubung PRN Melaka.

"Pandangan peribadi saya, persefahaman dan kerjasama politik di peringkat persekutuan wajar selari dengan negeri memandangkan kini kita semua berada di dalam barisan kabinet yang sama.

"Kerjasama politik yang kukuh antara parti yang mempunyai aspirasi dan matlamat yang sama wajar menjadi pertimbangan utama BN khususnya dalam persiapan ke arah PRN Melaka," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Pada Rabu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, partinya itu belum membuat keputusan sama ada bergerak secara solo atau bekerjasama dengan mana-mana parti lain setakat ini dalam menghadapi PRN Melaka 20 November ini.

Katanya, perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) parti itu dalam waktu terdekat dengan mengambil kira segala pandangan dan kaji selidik daripada setiap bahagian.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, strategi yang bakal dibuat BN-UMNO dalam PRN Melaka juga bakal memberi kesan besar kepada parti.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga berpendapat keputusan dan pertimbangan strategi politik Barisan Nasional di #PRNMelaka amat penting kerana ia akan terus diperhatikan oleh rakyat," katanya.