MEDAC pertimbang selaras tempoh tamat moratorium

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedang mempertimbangkan untuk menyelaras tempoh tamat moratorium bagi semua agensi pembiaya di bawah kementerian itu.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ketika ini tempoh tamat moratorium adalah berbeza-beza bagi setiap agensi pembiaya yang tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

“Kita tidak mahu moratorium di Bank Rakyat tamat pada bulan ini, Tekun Nasional pula bulan lain. Kita mahu semuanya diselaraskan,” katanya yang akan berbincang dengan Ketua Setiausaha MEDAC Datuk Suriani Ahmad berhubung perkara berkenaan.

Noh berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan surat penerimaan kemudahan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) SME Relief Program (SRP) Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) Fasa 2 SME Bank di sini pada Rabu.

Ditanya mengenai pelanjutan moratorium yang ketika ini diberi hingga hujung tahun ini, Noh berkata, MEDAC sedang mempertimbangkan untuk melanjutkannya lagi.

Noh dalam pada itu meminta SME Bank untuk memudahkan urusan rayuan proses bayaran balik usahawan bagi membolehkan mereka membangunkan kembali perniagaan yang terjejas.

“Bantulah mereka, kalau ada tindakan undang-undang atau tindakan yang menyusahkan usahawan ini, diharapkan SME Bank dapat berikan pertimbangan. Kita kena beri ruang kepada mereka untuk bernafas semula,” katanya.

Ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut, Noh berkata, MEDAC telah menawarkan bantuan bersasar SRP Pemulih kepada 4,142 usahawan dengan pembiayaan sebanyak RM5.8 bilion sejak Julai hingga Disember 2021.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu katanya, 10 usahawan dari sektor perhotelan, pengangkutan awam dan komersial serta pengendali taman hiburan menerima surat penyertaan SRP Pemulih Fasa 2 melibatkan peruntukan sebanyak RM349.6 juta. - Bernama