Kenderaan KKM terbabas, pemandu cedera

Kenderaan pacuan empat roda KKM yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jelapang, berhampiran Taman Meru Perdana, Ipoh pada Rabu. - Foto JBPM Perak
Kenderaan pacuan empat roda KKM yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jelapang, berhampiran Taman Meru Perdana, Ipoh pada Rabu. - Foto JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cedera dalam kemalangan di Jalan Jelapang, berhampiran Taman Meru Perdana di sini pada Rabu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 7.29 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu pemandu berusia 42 tahun yang cedera.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang dan dada.

Anggota BBP Meru Raya memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke HRPB, Ipoh untuk rawatan lanjut. - Foto JBPM Perak
Anggota BBP Meru Raya memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke HRPB, Ipoh untuk rawatan lanjut. - Foto JBPM Perak

"Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja. Kenderaan dari arah Chemor itu terbabas di laluan bertentangan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurut jurucakap itu, hanya pemandu berada di dalam kenderaan tersebut ketika kejadian.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Seramai enam anggota dengan satu jentera terlibat dalam operasi membantu mangsa kemalangan tersebut," ujarnya.