Kerajaan peruntuk RM83.2 juta bantuan perumahan rakyat miskin

Mahdzir (kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada penerima PPRT Bina Baharu di Pitas, Kota Marudu pada Selasa.
Mahdzir (kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada penerima PPRT Bina Baharu di Pitas, Kota Marudu pada Selasa.
A
A
A

KOTA MARUDU - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM83.2 juta bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu membabitkan pembinaan sebanyak 520 rumah baharu dan membaik pulih 2,818 rumah PPRT.

"Fokus Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) adalah untuk menyediakan kediaman selesa kepada golongan termiskin yang masih belum ada kediaman. Selain itu, kita juga mengambil kira mereka yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah.

"Sebagai contoh, di Sabah ini kita telah menyiapkan banyak rumah-rumah PPRT dan yang telah dibaik pulih. Projek bina baharu dan baik pulih PPRT ini saya telah meletakkannya sebagai satu daripada keutamaan dan Indeks Prestasi Utama (KPI) 100 hari saya sebagai menteri dan KPLB,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan replika kunci rumah kepada penerima PPRT Bina Baharu dan menyampaikan bantuan bakul makanan di Kampung Tanjung Batu, Pitas di sini pada Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Menteri Kerja Raya negeri; Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

Sementara itu, penantian selama 18 tahun seorang nelayan, Masri Bakri untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila dia dan keluarga kecilnya kini mendiami rumah yang dibina menerusi PPRT di Kampung Tanjung Batu di sini.

Masri, 45, sebelum ini menumpang di rumah keluarga mentuanya bersama isteri, Masritah Mohd Yassin, 40, dan empat anak mereka sejak tahun 2003.

Beliau berkata, mereka sekeluarga mula mendiami rumah PPRT itu pada April selepas mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Kami tinggal di rumah mentua cukup lama. Sebenarnya saya memang sudah lama memohon rumah PPRT. Ada tujuh kali saya membuat permohonan tetapi tidak berjaya.

“Bagaimanapun, saya amat bersyukur apabila pada tahun ini diberikan rezeki untuk mendapatkan rumah PPRT. Anak-anak juga gembira dapat tempat tinggal yang selesa. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu golongan seperti kami,” katanya.

Rumah berkeluasan kira-kira 182 meter persegi yang dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air, dapur serta ruang tamu dibina dengan kerjasama GiatMara menerusi projek PPRT 2021 KPLB.

Seorang lagi penerima, Ramlon Maidin, 51, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan membina rumah PPRT yang disifatkannya sebagai kediaman cukup selesa serta selamat untuk isteri dan lima anak mereka berusia empat hingga 15 tahun.