X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Empat lelaki ditahan rompak warga asing

Telefon milik mangsa yang ditemui semula selain kunci kereta dan motosikal antara barangan yang dirampas dalam serbuan pada Khamis. Foto: ihsan PDRM
A
A

BENTONG - Seramai empat lelaki tempatan ditahan pada Khamis selepas terbabit dalam kes rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki warga asing pada 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 35 tahun itu diberkas dalam sebuah serbuan di sebuah kawasan perumahan di bandar ini pada Khamis.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuat pemantauan di lokasi terbabit bermula jam 6 petang hingga 8 malam pada hari tangkapan.

"Sebelum ini, pada 9 Oktober lalu kira-kira jam 5 petang, mangsa yang berusia 27 tahun telah mengikut seorang lelaki tempatan untuk urusan jual beli besi buruk di kawasan rumah terbakar di Karak.

"Mangsa kemudiannya ditinggalkan berseorangan di hentian bas di kawasan Kampung Karak Setia," katanya.

Tambahnya, kira-kira jam 8.30 malam, suspek iaitu tiga lelaki tempatan yang tidak dikenali meminta wang daripada mangsa.

Jelasnya, mangsa yang enggan menyerahkan wang telah ditarik masuk ke dalam kereta milik suspek.

"Suspek telah menelefon isteri mangsa supaya memasukkan wang sebanyak RM8,000 ke dalam akaun bank milik salah seorang suspek dan mengugut membunuh mangsa jika enggan melakukan pembayaran," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaiham memberitahu, pihak polis berjaya menemui semula telefon milik mangsa dan merampas kenderaan milik suspek hasil serbuan tersebut.

Ujarnya lagi, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!