Pengusaha hotel cadang lanjutkan tempoh pengecualian SST

MyBHA cadang kerajaan lanjutkan tempoh pengecualian pembayaran SST sehingga Disember tahun hadapan dalam Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan 29 Oktober ini. Gambar kecil: Sri Ganesh Michiel
MyBHA cadang kerajaan lanjutkan tempoh pengecualian pembayaran SST sehingga Disember tahun hadapan dalam Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan 29 Oktober ini. Gambar kecil: Sri Ganesh Michiel
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) mencadangkan kerajaan melanjutkan tempoh pengecualian pembayaran cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga Disember tahun hadapan dalam Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan pada 29 Oktober ini.

Timbalan Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, pengecualian itu harus diberikan kepada premis penginapan pelancong bagi semua kategori cukai termasuk penginapan, pakej pelancongan dan runcit, selepas perniagaan mereka terjejas akibat penularan Covid-19.

Kerajaan sebelum ini melanjutkan pengecualian SST bagi hotel sehingga 31 Disember tahun ini untuk menyokong sektor pelancongan.

Selain itu, beliau juga meminta kerajaan menaikkan nilai ambang tahunan SST bagi industri perhotelan daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta.

“Permohonan pengecualian ini adalah untuk menggalakkan pelancong luar negara untuk melancong ke Malaysia apabila mereka dibenarkan melancong kelak dalam usaha merancakkan kembali industri pelancongan dan perhotelan negara,” katanya kepada Bernama.

Sri Ganesh turut menggesa kerajaan menguatkuasakan undang-undang bagi memantau platform pelancongan e-dagang yang dikendalikan pihak luar sehingga menjejaskan agensi pelancongan berlesen tempatan sedia ada.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sutra Travel dan Tourism Management of Companies, Datuk Syed Razif Syed Yasin berkata, kerajaan diminta menyediakan peruntukan mencukupi untuk industri pelancongan melabur dalam proses pendigitalan perniagaan bagi memastikan produk pelancongan negara mudah diakses.

Jelasnya transformasi pendigitalan mampu menyediakan brosur pelancongan tempatan yang lebih interaktif kerana maklumat mengenai produk pelancongan lebih mudah disampaikan selain pemasaran digital akan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan melanjutkan tempoh moratorium untuk industri pelancongan, sementara mereka memulihkan semula perniagaan selepas orang ramai mula kembali melancong susulan pergerakan rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan bermula 11 Oktober lepas. - Bernama