Maritim tahan dua bot nelayan asing Vietnam

Bot nelayan asing Vietnam yang ditahan KM Gemia dalam OP Kuda Laut pada Sabtu.
Bot nelayan asing Vietnam yang ditahan KM Gemia dalam OP Kuda Laut pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Sabtu mengesan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan.

Pemeriksaan ke atas bot menemui pelbagai hasil tangkapan seberat kira-kira empat tan, bekalan diesel dianggarkan 2,500 liter dan peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan hampir RM3 juta.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, Kapal Maritim (KM) Gemia yang sedang melaksanakan OP Kuda Laut pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu kemudian menahan bot terbabit.

Beliau memaklumkan, KM Gemia menerima maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu (Pusop) yang mengesan bot disyaki sedang melakukan aktiviti penangkapan hasil laut di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

"Berdasarkan maklumat itu, KM Gemia menghala ke lokasi. Penguat kuasa menahan 18 kru bersama tekong dan merampas peralatan serta hasil laut yang diperoleh," katanya pada Isnin.

Beliau memberitahu, semua tahanan berusia antara 17 hingga 55 tahun dan barang rampasan dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

"Maritim Malaysia tidak berkompromi dengan pencerobohan nelayan asing dan kita akan terus meningkatkan rondaan serta pemantauan dari masa ke semasa bagi mencegah aktiviti menyalahi undang-undang maritim.

"Kita harap kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim melaporkan sebarang maklumat dan salah laku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Terengganu di talian 09 6223657," katanya.

Artikel Berkaitan: