X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

17 juta pokok sudah ditanam seluruh negara: Takiyuddin

Takiyuddin menanam Pokok Merbau pada program penanaman pokok sempena Program Penghijauan Malaysia bersama Komuniti Kampung Chandek Kura, Mukim Kedawang di Hutan Simpan Bukit Malut, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

LANGKAWI - Sebanyak 17 juta pokok pelbagai spesies telah ditanam di seluruh negara di bawah Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 setakat ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berkeyakinan sasaran untuk menanam 20 juta pokok tahun ini akan tercapai menjelang hujung tahun ini.

"Jadi pihak kementerian (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) amat menggalakkan semua pihak dan rakyat mengamalkan penanaman pokok daripada pelbagai spesies bagi memastikan kempen ini berjaya mencapai matlamatnya.

"Bagi negeri Kedah pula, sehingga hari ini kita telah berjaya menanam hampir 600,000 pokok menerusi kempen ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan surat niat bagi inisiatif solar di Dermaga Tanjung Lembung di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kementeriannya juga menggalakkan setiap pemimpin dan wakil masyarakat menjadikan aktiviti penanaman pokok sebagai satu gimik pada setiap program yang dilaksanakan mereka.

Takiyuddin sebelum itu turut menyertai aktiviti penanaman pokok sempena kempen itu bersama komuniti Kampung Chandek Kura, Kedawang di kawasan Kompartmen 1 Hutan Simpan Bukit Malut di sini.

Pada program itu, sebanyak 1,000 pokok ditanam membabitkan beberapa spesies, antaranya merbau, petai, kundang dan asam gelugor selain beberapa spesies pokok hutan yang melibatkan kawasan penanaman seluas kira-kira tiga hektar.

Penanaman semula pokok di kawasan itu bagi memulih dan menghijaukan semula kawasan itu yang sebelum ini pernah diceroboh dan diteroka oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!