Pulau Pangkor terima pelancong tertinggi di Perak

Lebih 100 penumpang menggunakan perkhidmatan feri untuk ke Pulau Pangkor.
Lebih 100 penumpang menggunakan perkhidmatan feri untuk ke Pulau Pangkor.
A
A
A

LUMUT - Tempahan hotel dan penginapan di Pulau Pangkor mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 78 peratus dalam tempoh enam hari selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula Isnin lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, seramai 9,888 orang dari seluruh negara telah direkodkan memasuki ke pulau bebas cukai itu dalam tempoh tersebut.

Beliau memberitahu, kadar bilangan pelancong pada Ogos ialah 6,430 orang tetapi meningkat dua kali ganda pada September iaitu 12,879 sejak pembukaan domestik dalam negeri,

"Peningkatan ini memberi keyakinan bahawa industri pelancongan khususnya Pulau Pangkor telah mula menerima pelancong sekali gus membantu pemulihan pemain industri tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan dan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di Jeti Penumpang Lumut di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Syamsul Hazeman Md Salleh.

Nolee Ashilin berkata, kemudahan dan perkhidmatan ke destinasi pelancongan akan ditingkatkan selepas pihaknya menjangkakan lebih ramai kehadiran pengunjung dari masa ke masa.

Nolee Ashilin (kanan) dan Zambry (tengah) memantau fasiliti seperti pemeriksaan suhu badan melalui penggunaan alat pengimbas haba yang ditempatkan di pintu masuk Jeti Penumpang Lumut.
Nolee Ashilin (kanan) dan Zambry (tengah) memantau fasiliti seperti pemeriksaan suhu badan melalui penggunaan alat pengimbas haba yang ditempatkan di pintu masuk Jeti Penumpang Lumut.

"Sekiranya ada keperluan, kita akan tambah perkhidmatan feri namun kita juga mengambil kira faktor kesediaan operator di Pulau Pangkor dan mempunyai bilangan bilik mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini sebanyak 25 daripada 47 penginapan berdaftar telah dibuka dan selebihnya akan dilakukan secara peringkat sehingga November ini," katanya.

Jelasnya, aktiviti rekreasi dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam manakala pengunjung juga boleh membeli barangan bebas cukai selepas berada di pulau dalam tempoh 24 jam berbanding sebelum ini selama 48 jam.

Pada masa sama, Nolee Ashilin berkata, kadar penginapan hotel di destinasi pelancongan lain negeri ini juga menunjukkan peningkatan lebih 50 peratus sehingga Sabtu.

"Data diperoleh daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Perak pula menunjukkan kadar penginapan di Ipoh mencatatkan 50 peratus manakala hotel di bawah Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mencatatkan 56 peratus penginapan.

"Data daripada Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Perak pula menunjukkan penginapan di Ipoh, Tanjung Malim, Tapah, Manjung, Kuala Kangsar dan Taiping mencapai kadar 46 peratus," katanya.

Beliau turut menyarankan semua pihak untuk terus mematuhi SOP bagi memastikan tiada penularan Covid-19 membabitkan sektor pelancongan direkodkan.