Empat iktibar daripada pandemik Covid-19

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

HUJUNG minggu ini, lebuh raya seluruh negara kembali sibuk dibanjiri jutaan rakyat Malaysia berikutan pengumuman PM membenarkan kembali perjalanan merentas negeri.

Sebahagian dari mereka mungkin mengambil peluang ini untuk melepaskan hasrat yang lama terpendam untuk bercuti dan bersiar-siar; namun ada sebilangan yang lebih besar yang pasti sudah rindu untuk pulang ke kampung halaman, kembali ke pangkuan keluarga dan mereka yang tersayang.

Penarikan balik larangan merentas negeri pada 11 Oktober lalu adalah satu titik perubahan untuk Malaysia setelah lebih 20 bulan kita berjuang melawan satu musuh yang halus, namun meninggalkan kesan yang dahsyat pada sistem kesihatan awam dan ekonomi negara.

Namun, sejarah telah memperlihatkan betapa Rakyat Malaysia bukanlah calang calang bangsa, rakyat kita punya kecekalan dan ketahanan tinggi berdepan dengan cabaran. Pengalaman masa lampau telah menjadikan kita kalis pada asakan apa jua krisis.

Adakah pandemik ini akan menjadikan kita lebih kuat berbanding sebelumnya? Apakah kita mampu bertahan jika krisis ini kembali? Nah, di sinilah terletaknya peluang kita: jangan biarkan krisis ini berlalu tanpa memanfaatkan pengajaran yang diterima darinya.

Empat pengajaran daripada pandemik Sebelum 2020, tiada negara yang mempunyai sebarang panduan untuk menghadapi pandemik sebegini. Namun sejak tahun lalu, kita bukan sahaja telah mempelajari ilmu baharu mengenai Covid-19, tetapi juga kebijaksanaan dalam mengendalikannya.

Dalam menangani realiti Covid-19 yang sarat dengan segala keperitan, kita kini telah menjadi lebih sensitif dan menghargai jalinan antara manusia sejagat.

Sememangnya, jika ada satu kebaikan daripada pandemik ini ialah ia telah memaksa kita untuk menjadi lebih kreatif, strategik serta bersifat eksperimental. Sebenarnya, apa yang perlu untuk kembali ke norma baharu adalah strategi, kreativiti dan keberanian untuk mencuba.

Artikel Berkaitan:

Empat iktibar utama

Susulan daripada ini, saya ingin berkongsi empat iktibar utama yang dapat melambangkan bagaimana kita dapat bergerak ke arah pemulihan, dan pada masa sama muncul lebih strategik dan inovatif.

Iktibar pertama berkisar tentang persediaan kita untuk menghadapi kemungkinan sesuatu pandemik lain akan berlaku di masa depan.

Sebagai sebuah negara, kita boleh berbangga dengan kadar vaksinasi Malaysia yang merupakan antara terpantas di dunia, tetapi bagaimana pula persediaan kita untuk menghadapi apa jua kejutan di masa hadapan? Covid-19 berkemungkinan bukanlah pandemik terakhir yang akan menyerang negara.

Justeru, kita mesti memastikan bahawa ia adalah krisis terakhir memerangkap kita dalam satu kancah yang getir – janganlah kita sekali lagi terpaksa membuat pilihan antara menyelamatkan nyawa atau mata pencarian.

Bolehkah kita menggunakan krisis ini untuk memperkasakan kapasiti sistem kesihatan awam, infrastruktur kesihatan serta industri?

Mungkin kita boleh belajar daripada Korea Selatan, yang beberapa tahun lalu kurang bersedia menangani penyakit SARS tetapi telah pantas belajar daripada episod tersebut. Apabila Covid-19 melanda, Korea Selatan telah dapat segera melonjakkan diri berpandukan pengalaman lalu.

Beberapa bulan terdahulu, Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang terbukti berkesan sebagai satu strategi tindak balas krisis Covid-19. Kemampuan inilah yang seharusnya kita tingkatkan dengan cepat dan berkesan dalam menghadapi krisis lain.

Iktibar 2: Peralihan ke arah digitalisasi adalah sangat penting. Digitalisasi adalah satu “game-changer” (pengubah) yang dapat merapatkan jurang pendapatan dalam masyarakat.

Semasa beberapa peringkat perintah kawalan pergerakan dilaksanakan sejak Mac 2020, kita telah melihat peranan teknologi dalam memberi keupayaan kepada aktiviti ekonomi. Malahan, penjual nasi lemak tepi jalan juga menggunakan media sosial untuk berniaga dalam talian.

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul

Kita perlu membina tonggak digital negara supaya rakyat di kawasan luar bandar mempunyai akses kepada sebarang peluang yang bersandar kepada teknologi.

Dasar Digital Malaysia sudah tersedia untuk mencapai tujuan ini. Kita perlu menerima dan meraikan teknologi seperti 4IR, 5G, Data Raya dan Machine Learning (Pembelajaran Mesin) jika tidak mahu ketinggalan dalam ekonomi yang dipacu teknologi.

Iktibar 3: Membina rantaian bekalan strategik. Pada permulaan krisis, kita bergelut untuk memperoleh atau menghasilkan pelitup muka, ventilator, alat bantuan pernafasan dan peralatan perubatan lain yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.

Jika kita terlalu bergantung kepada import sahaja, apa yang akan terjadi jika sempadan kita ditutup sekali lagi? Dan bagaimana pula dengan bekalan makanan?

Inilah masa yang terbaik untuk menerapkan konsep kelestarian dalam rantaian bekalan kita, termasuk sosial dan persekitaran kerana isu kelestarian dan keuntungan tidak lagi saling eksklusif.

Iktibar 4: Inilah peluang terbaik untuk kita mengambil pendekatan strategik terhadap isu-isu struktur yang selama ini menghalang kita daripada mencapai potensi sebenar sosioekonomi negara.

Pandemik ini telah menonjolkan banyak kelemahan dalam negara. Salah satunya ialah kapasiti untuk mewujudkan pekerjaan. Maka, pada awal 2021, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Nasional (MPN) untuk mengadakan usaha sepadu mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baharu tahun ini.

Pada September, kita telah berjaya mencipta 390,000 pekerjaan baharu dan InsyaAllah, kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pada Disember. Kadar pengangguran pada Mei 2020 berada pada 5.3% tetapi pada bulan Ogos lalu, ia telah menurun ke 4.6%.

Namun begitu, peranan MPN bukan hanya untuk mencipta pekerjaan.

Malah, ia juga tentang kualiti pekerjaan dan meningkatkan kapasiti, contohnya memastikan kemahiran graduan berpadanan dengan permintaan industri, memberi latihan semula graduan untuk menceburkan diri dalam industri lain, membangunkan pembelajaran vokasional, serta menyokong agenda keusahawanan.

Inilah strategi holistik MPN untuk membina daya tahan dalam kalangan masyarakat kita.

RMKe-12 dan Bajet 2022 Baru-baru ini, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) telah diumumkan sebagai landasan arah ekonomi negara kita untuk lima tahun akan datang.

RMKe-12 adalah naskhah penting mengandungi pelbagai langkah penting melakarkan trajektori ekonomi kita, tetapi yang apa mencerakinkan pelaksanaan pelan lima tahun ini ke peringkat yang lebih terperinci adalah bajet tahunan.

Pada 29 Oktober ini, saya akan membentangkan Bajet 2022. Walaupun bajet ini lumrahnya dilihat sebagai polisi jangka pendek untuk pemulihan sosioekonomi negara, ia juga kritikal untuk kita menggerakkan reformasi fiskal dan institusi dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, empat iktibar atau pengajaran yang tersebut di atas juga sama penting dalam hasrat kita membina semula daya tahan negara untuk masa depan lebih terjamin.

Sejak sempadan negeri mula dibuka dan tidak lama lagi yang akan disusuli dengan pembukaan sempadan antarabangsa—pemulihan ekonomi negara telah beralih ke fasa seterusnya, bersedia untuk bergerak dengan lebih pantas.

Saya yakin dengan usaha pemulihan negara yang kian giat menjana momentum, kita akan beredar daripada pandemik ini menjadi lebih kuat dan dan lebih kukuh.

Kita perlu membina atas daya momentum ini, mencapai impian kita untuk melonjakkan Malaysia kembali, malah menjadi sebuah negara yang lebih baik dari yang sebelumnya.

*Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan Malaysia