PDRM buka kertas siasatan kes Pandora Papers

Bukit Aman
Bukit Aman
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima empat laporan berhubung pendedahan Pandora Papers mengenai dakwaan pengaliran wang negara ini ke luar negara secara haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya mengesahkan terdapat laporan yang diterima berhubung dakwaan tersebut.

"Dua daripada empat laporan yang diterima diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut kerana berkaitan dengan aktiviti penyerahan memorandum menggesa siasatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, bagi dua lagi laporan yang diterima, pihaknya telah menjalankan rakaman percakapan pengadu.

"Satu kertas siasatan yang dibuka telah dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Oktober manakala satu lagi kertas siasatan akan dirujuk kepada BNM pada 18 Oktober.

"Kedua-dua kertas siasatan tersebut dirujuk untuk siasatan lanjut," katanya.

Pandora Papers adalah laporan berhubung ratusan pemimpin dunia termasuk ahli politik didakwa menyembunyikan wang dan pelaburan mereka seperti hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki oleh 14 firma di serata dunia.

Artikel Berkaitan:

Menurut pendedahan tersebut, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Pendedahan ini dibuat pada Ahad oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara.