Dua perkara perlu dilakukan sebelum PRN Sarawak boleh diadakan

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUCHING - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dua perkara penting perlu dilakukan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 boleh diadakan.

Beliau berkata pertamanya, Proklamasi Darurat (Sarawak) yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkuat kuasa sehingga 2 Februari 2022 disingkatkan atas perkenan Seri Paduka Baginda jika diperlukan.

“Kedua, PRN Sarawak boleh diadakan kalau Seri Paduka Baginda bersetuju dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud bersama kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dicapai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan Masjid Mutiara Iman di sini pada Sabtu.

Pada 31 Julai, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) mulai 2 Ogos 2021 sehingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan berikutan wabak Covid-19 yang telah mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu, menyatakan Seri Paduka Baginda boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan: