X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Pantai Teluk Kemang kembali meriah

Susana di pantai Teluk Kemang, Port Dickson pada hujung minggu selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan sejak Isnin lalu.
A
A

PORT DICKSON - Suasana di Pantai Teluk Kemang di sini kembali meriah dengan kehadiran pengunjung setempat dan luar Negeri Sembilan untuk beriadah selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan sejak Isnin lalu.

Salah seorang pengunjung, Nazirah Zamzurin, 29, dari Pahang melahirkan rasa lega apabila dibenarkan merentas negeri setelah sekian lama tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik Covid-19.

"Saya memilih Port Dickson sebagai destinasi percutian pertama selepas kebenaran rentas negeri kerana teruja untuk melihat keindahan pantai peranginan ini malah tidak sabar untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sekitar daerah ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Seorang lagi pengunjung juga dari Pahang, Norhati Abdul Rani, 35, memberitahu dia tiba di daerah ini pada Jumaat bersama dua orang rakannya.

"Saya mengakui sangat teruja apabila dapat melancong ke daerah ini malah saya sudah mempunyai perancangan untuk menjelajah beberapa negeri lain selepas ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Suziana Hassan, 37 dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan berhasrat untuk datang semula ke daerah ini pada hujung bulan ini berikutan tidak puas menikmati keindahan pantai di sini.

"Sudah lama saya sekeluarga tidak ke Port Dickson sejak pendemik ini, anak-anak juga gembira dapat mandi-manda di pantai selepas lama 'terkurung'," katanya.

Sementara itu, kehadiran pengunjung ke pantai tersebut turut disambut dengan baik oleh para peniaga termasuklah pengusaha kuda di Dataran Teluk Kemang, Mohd Farus Ezam Abas, 41.

Orang ramai menaiki kereta kuda di Dataran Teluk Kemang.
Orang ramai menaiki kereta kuda di Dataran Teluk Kemang.

Katanya, kelonggaran orang ramai beraktiviti di kawasan pelancongan memberi sinar baharu kepada pengusaha sepertinya yang hilang punca pendapatan berikutan ketiadaan pengunjung.

"Kami jangkakan akan lebih ramai pengunjung datang ke sini selepas kebenaran merentas negeri sekali gus kami dapat beroperasi dan menjana pendapatan," luahnya.

Pekerja kedai cenderahati, Ayunita Rasul, 26, ketika ditemui turut meluahkan rasa lega apabila ramai pelancong berkunjung keNegeri Sembilan sejak negeri itu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 26 Ogos lepas.

"Jualan kami semakin meningkat sejak kebenaran merentas daerah. Syukur yang amat kerana jualan mencecah hampir RM1,500 bagi tempoh dua hari berbanding semasa perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis Port Dickson menjangka seramai 30,000 orang akan memasuki daerah itu minggu ini susulan kebenaran rentas negeri bermula Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pemantauan 24 jam akan dilakukan terutama di kawasan pantai bagi memastikan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN:30,000 dijangka masuk PD minggu ini


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!