X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Risda saran pekebun kecil hasilkan lateks tingkat pendapatan

Gambar hiasan
A
A

BALING - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menggalakkan pekebun-pekebun kecil tanaman getah untuk menghasilkan pengeluaran lateks atau susu getah sebagai alternatif meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Risda Datuk Mohd Salim Mohd Shariff berkata, ia berikutan harga lateks yang lebih tinggi iaitu RM7 sekilogram berbanding getah sekerap RM2.50 sekilogram.

“Hasil lateks boleh memberikan pendapatan berganda kepada pekebun kecil, bagaimanapun kita perlu menukar corak hasil getah iaitu daripada getah lantun atau sekerap ini kepada lateks.

“Cumanya, untuk mendapatkan hasil lateks ini, pekebun kecil perlu berusaha lebih sikit, bekerja lebih keras, namun kebaikannya ialah dapat meminimumkan kes kecurian seperti yang sering terjadi terhadap getah sekerap,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Mohd Salim berkata, untuk menjayakan hasrat menukarkan hasil getah daripada getah sekerap kepada lateks ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak khususnya kesediaan pekebun kecil sendiri.

Beliau berkata memberitahu bersedia untuk mewujudkan depoh pengumpulan lateks baharu sekiranya mendapat permintaan oleh pekebun kecil di kawasan-kawasan tertentu.

“Setakat ini, terdapat 12 depoh pengumpulan lateks di seluruh negara termasuk dua di Kedah iaitu Sik dan Padang Terap. Lapan daripada depoh itu aktif beroperasi merangkumi kawasan kebun getah seluas 254.5 hektar,” katanya.

Mohd Salim berkata, daerah Baling yang mempunyai keluasan kebun getah terbesar di Semenanjung Malaysia dengan seluas 13,988 hektar membabitkan seramai 9,979 pekebun kecil pula dilihat berpotensi menjadi pengeluar lateks utama negara.

“Pagi tadi saya melawat ke depoh pengumpulan lateks di Sik, depoh lateks bernilai RM40,000 itu siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi Januari depan. Baling juga, jika ada permintaan dan kesediaan, kita akan usahakan untuk mewujudkan depoh pengumpulan lateks di sini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Salim berkata Risda akan meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram daripada harga semasa RM2.50 sekilogram, bermula Januari depan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

“Pekebun kecil sudah tentu mengharapkan harga yang lebih baik dan stabil, harga sawit sendiri mencecah RM1,000 satu tan, tetapi harga lantai bagi getah sekerap RM2.50, tiada peningkatan.

“Jika harga lantai getah dinaikkan RM1 sekilogram, pendapatan pekebun kecil boleh ditingkatkan kepada antara RM2,100 hingga RM2,200 sebulan, sebab itu kita harap dalam Belanjawan 2022 nanti, ia akan dapat ditingkatkan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Salim yang juga Pengerusi Yayasan Risda mengagihkan bantuan Bakul Prihatin sumbangan Yayasan Risda kepada pekebun-pekebun kecil di Kampung Haji Abas dan Kampung Lubuk Pedati di sini yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Keseluruhannya, sebanyak 1,096 pekebun kecil dari Baling, Sik dan Padang Terap yang terjejas banjir menerima bantuan itu membabitkan jumlah keseluruhan RM54,800.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Pengarah Risda, Abdullah Zainal dan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!