X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Antirasuah akan jadi urusan rasmi Parlimen: Rais

Tan Sri Dr Rais Yatim
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah Dewan Negara akan mengambil tanggungjawab mengenai antirasuah di Malaysia sebagai urusan rasmi Parlimen sebagaimana dikuatkuasakan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat sulung JKMR pada Jumaat dengan penubuhan jawatankuasa tersebut akan dilunaskan dalam mesyuarat Dewan Negara sesi kali ini.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, JKMR turut mengambil maklum ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pendirian antirasuah semasa beliau membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara pada 12 Oktober lepas.

Beliau berkata, pendirian Ismail Sabri itu sebagai petua dan panduan dalam menetapkan hala tuju JKMR sesuai dengan mandat diberikan kepada jawatankuasa khas tersebut di bawah Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

"Sesuai dengan mandat itu, JKMR akan menasihatkan Perdana Menteri membabitkan beberapa aspek antirasuah untuk diambil pertimbangan serius oleh kerajaan dan pertemuan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berlangsung dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Rais berkata, mesyuarat pada Jumaat turut membincangkan hal ehwal berkaitan Kertas Pandora yang dibangkitkan baru-baru ini.

Beliau berkata, penelitian akan dibuat sama ada Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah Dewan Negara harus menimbang serta menelitinya daripada sudut kesahihan pendedahan terlebih dahulu serta hak rakyat untuk mengetahui aspek yang relevan mengenai perkara berkenaan.

Dewan Rakyat pada 11 Oktober lepas kekal dengan keputusan menolak usul untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora yang didakwa membabitkan fail kewangan sulit beberapa pemimpin negara.

Pada masa sama, menurut Rais, JKMR mengambil berat hal ehwal pengendalian barang kes serta kaedah lain di bawah SPRM supaya lebih telus dan terhindar daripada salah guna kuasa dalaman, serta menggesa pihak berkuasa mempercepatkan tindakan undang-undang membabitkan kes kehilangan barang kes bernilai AS$6 juta (RM24.94 juta).

"Rentetan daripada itu, JKMR juga memandang serius tentang imej SPRM dalam beberapa kes kebelakangan ini, termasuk membabitkan beberapa kes berprofil tinggi yang ditarik balik oleh Jabatan Peguam Negara.

"Penelitian terperinci mengenainya merangkumi lunas penyiasatan dan pendakwaan sedang diusahakan dengan pihak berkaitan," katanya.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 23 September lepas, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menangkis dakwaan bahawa kehilangan barang kes berjumlah AS$6 juta itu sepatutnya dilakukan polis, bukannya SPRM. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!