Suasana Kampung Kesan Tua jadi pilihan Hidilyn sambung latihan

Hidilyn meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan menjalani latihan Kampung Kesang Tua selepas terkandas berikutan sekatan pergerakan akibat penularan Covid-19.- Foto fail Sinar Harian.
Hidilyn meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan menjalani latihan Kampung Kesang Tua selepas terkandas berikutan sekatan pergerakan akibat penularan Covid-19.- Foto fail Sinar Harian.
A
A
A

JAGUH angkat berat yang juga pemenang pingat emas Olimpik pertama Filipina, Hidilyn Diaz akan kembali menyambung latihannya di Kampung Kesang Tua di sini bagi menghadapi kejohanan dunia di Uzbekistan, Disember depan.

Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata, atlet itu dijangka tiba pada jam 11.15 pagi Sabtu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menjalani kuarantin selama 14 hari di kediamannya.

“Kami sekeluarga akan sambut beliau dan terus ke Jasin. Hidilyn telah membuat permohonan secara dalam talian kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus kuarantin di rumah.

“Hidilyn memaklumkan kepada saya yang beliau rasa gembira pulang ke sini. Aura dan suasana kampung yang aman permai membuatkan beliau selesa dan mahu terus menyambung latihan di tempat sama di rumah itu,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga bapa angkat kepada atlet itu berkata garaj kereta yang diubah suai menjadi tempat latihan Hidilyn masih sama, tetapi dinaik taraf sedikit bagi keselesaan dan keselamatannya.

Beliau berkata, sebelum ini ada beberapa pihak yang menawarkan untuk memindahkan tempat latihan yang lebih selesa kepada Hidilyn, namun atlet wanita berusia 30 tahun itu menolak secara baik kerana menyifatkan garaj itu lebih sesuai dengannya.

“Memang itu kehendaknya, beliau berkata pada saya, buat apa dia pergi tempat lain di situlah tempatnya berlatih dan menang pingat emas, kalau pindah tempat lain lebih baik dia pergi berlatih di Amerika Syarikat atau Bukit Jalil, banyak tempat beliau boleh pergi.

“Tetapi mungkin kampung ini lebih sentimental dan dekat dengan dirinya,yang menghabiskan masa berlatih di situ sejak setahun lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, nama Kampung Kesang Tua menjadi tumpuan selepas kemenangan atlet berusia 30 tahun di Temasya Olimpik Tokyo baru-baru ini, selepas Hidilyn dikatakan terkandas dan menjalani latihan di Malaysia sejak Januari tahun lalu berikutan sekatan pergerakan akibat penularan Covid-19.

Kejayaan wanita berasal dari Zamboanga City itu turut menjadi kebanggaan keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua, yang telah menghabiskan masa bersama atlet itu lebih setahun lalu selain berkesempatan menghantar Hidilyn dan pasukannya ke KLIA untuk berlepas ke temasya Olimpik Tokyo pada 18 Julai. - Bernama