Inspektor, empat anggota polis didakwa terima rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan empat anggota polis didakwa menerima suapan dengan nilai keseluruhan RM8,020 di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, kelima-lima tertuduh mengaku tidak salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menerima suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Tertuduh pertama, Joevian Gubal Michael, 41, yang bertugas sebagai Inspektor di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Belud berhadapan empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,400 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya antara 16 November 2016 hingga 17 Disember 2017.

Tertuduh kedua, Azizul Ismail, 32, bertugas sebagai Sarjan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Belud berhadapan empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM900 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya antara 24 April 2017 hingga 30 Julai 2017.

Tertuduh ketiga, Hairul Amid, 36, yang bertugas sebagai Lans Koperal di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berhadapan lima pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,000 ke dalam akaun bank miliknya antara 11 Ogos 2017 hingga 9 Jun 2018.

Tertuduh keempat, Lans Koperal Afizul Azwan Anuar, 29, bertugas sebagai Konstabel di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Belud, berhadapan empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM470 antara 13 April 2017 hingga 6 Mei 2017.

Tertuduh terakhir, Abdullah Bakir, 44, bertugas sebagai Koperal di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Belud berhadapan 18 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,250 antara 14 April 2014 hingga 1 Oktober 2015.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan Joevian dan Hairul diikat jamin sebanyak RM10,000 bersama RM4,000 deposit manakala Abdullah dibenarkan ikat jamin dengan nilai yang sama namun dengan RM5,000 deposit bersama seorang penjamin tempatan selain diminta untuk tidak mendekati saksi.

Sementara itu, Azizul dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan deposit RM4,000 manakala Afizul dibenarkan ikat jamin dengan nilai yang sama namun dengan RM3,000 deposit bersama seorang penjamin tempatan.

Semua tertuduh diminta melaporkan diri dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diarahkan untuk menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes kelima-lima tertuduh pada 24 November depan.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing.