Hotel terbiar jadi markas sindiket 'calling center', empat dicekup

Hanyan (dua dari kanan) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
Hanyan (dua dari kanan) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis menumpaskan sindiket 'calling center' membabitkan penipuan permainan atas talian dengan pulangan ganjaran tidak wujud di sebuah hotel terbiar di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek terdiri daripada empat lelaki warga Bangladesh berusia 20 hingga 53 tahun dengan salah seorang daripadanya dikesan tinggal di negara ini sejak 12 tahun lalu.

"Pada 21 Oktober 2026, kira-kira jam 9.30 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menyerbu sebuah premis hotel yang dikesan tidak digunakan sejak 2022 di Taman Lagenda Indah dijadikan pusat operasi calling centre tersebut.

"Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak Jun 2026 dengan menyasarkan mangsa warga Bangladesh menggunakan laman web dan aplikasi WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pelanggan," katanya kepada media.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai mengendalikan urusan tambah nilai mata permainan dalam talian manakala pengeluaran wang pulangan pelanggan didakwa ditangguhkan dengan status 'pending withdrawal'.

Katanya, empat lelaki warga Bangladesh ditahan dipercayai menerima upah sekitar RM2,700 sebulan.

Berdasarkan keterangan awal, kira-kira 17 akaun pelanggan dalam tempoh 24 jam dipercayai mengalami masalah pengeluaran tertangguh dengan anggaran kerugian sekitar RM2,000 sehari.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kerugian sebenar masih dalam proses pengesahan.

Polis turut merampas 17 unit telefon bimbit, empat unit pemprosesan komputer CPU, lapan buah monitor, dua unit modem dan wang tunai berjumlah RM2,442.

Artikel Berkaitan:

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM18,000.

Polis turut membuat tangkapan susulan membabitkan dua lelaki tempatan berusia 40 dan 50 tahun dalam serbuan berasingan pada Jumaat.

"Seorang daripadanya dipercayai pemilik premis dan seorang lagi bertindak sebagai ejen menguruskan proses penyewaan premis," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!