Pengedar rokok seludup dicekup

Suspek ditahan bersama muatan rokok kontraband dalam kereta miliknya dibawa ke IPD Batu Pahat untuk membantu siasatan.
Suspek ditahan bersama muatan rokok kontraband dalam kereta miliknya dibawa ke IPD Batu Pahat untuk membantu siasatan.
A
A
A

BATU PAHAT - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menahan seorang lelaki tempatan dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai di kawasan Parit Raja di sini pada Khamis.

Pegawai Memerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 pagi di kawasan berkenaan hasil daripada siasatan dan risikan dilakukan.

“Suspek ditahan hasil daripada satu operasi ketika dia sedang melakukan aktiviti pengedaran rokok seludup di kawasan Parit Raja. Penahanan membawa kepada penemuan 388 karton rokok tidak bercukai.

“Hasil siasatan awal kemudian mendapati suspek dipercayai bertanggungjawab membekalkan rokok tidak bercukai di kedai-kedai runcit sekitar kawasan Parit Raja,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dimin berkata, pihaknya merampas kereta dinaiki suspek bersama kesemua rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai sebanyak RM80,587.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

“Polis percaya tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Parit Raja, Batu Pahat dan Johor,” katanya.

Artikel Berkaitan: