Pesara guru hilang duit RM25,600 ditipu scammer

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Wang simpanan berjumlah RM25,600 milik seorang pesara lesap selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis pada 20 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa seorang wanita berusia 65 tahun dan bekas guru itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku wakil dari sebuah syarikat insurans di Kuala Lumpur.

Menurutnya, lelaki itu memaklumkan terdapat tuntutan insurans kemalangan berjumlah RM36,800 atas nama mangsa sebelum panggilan disambungkan kepada dua individu lain yang mengaku sebagai polis dari Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur.

"Selepas panggilan itu disambungkan mangsa bercakap dengan seorang lelaki dikenali sebagai Sarjan Daniel Lee Abdullah sebelum dimaklumkan dirinya terlibat dalam kes.

"Panggilan terbabit kemudian disambungkan kepada seorang pegawai polis bernama Inspektor Wong Kok Keong. Mangsa diberitahu bahawa namanya terlibat kes pengumpulan wang haram berjumlah RM2.18 juta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, selepas itu, mangsa diminta membuat penukaran kad bank miliknya dan mendaftarkan nombor telefon diberikan untuk kad bank baharu itu bagi tujuan siasatan.

Tambah Mohd Wazir, mangsa mengikut semua arahan suspek dengan harapan dirinya terlepas daripada jenayah terbabit.

"Mangsa kemudian diminta menghantar gambar kad bank tersebut dan gambar buku akaun Tabung Haji tertera nombor akaun dengan alasan untuk siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Semalam, mangsa membuat semakan di akaun Bank Rakyat dan mendapati wang simpanannya berkurangan sebanyak RM9,600 dan wang simpanan dalam akaun Tabung Haji berkurangan sebanyak RM16,000," katanya.

Mohd Wazir berkata, susulan itu, mangsa membuat laporan di ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh kerana berasa ditipu.