Rasuah dalam perniagaan membimbangkan

Rasuah yang berleluasa mengakibatkan ada yang menganggap ia satu amalan biasa. (Gambar kecil: Firdaus Akbar)
Rasuah yang berleluasa mengakibatkan ada yang menganggap ia satu amalan biasa. (Gambar kecil: Firdaus Akbar)
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya rasuah dianggap remeh oleh segelintir masyarakat di negara ini malah seolah-olah sebati dalam kehidupan.

Pegawai Tadbir Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma), Firdaus Akbar Yacob berkata, rasuah yang berleluasa mengakibatkan ada yang menganggap ia satu amalan biasa.

Beliau memberi contoh ada peniaga terpalit dengan rasuah walaupun mereka berniaga secara kecil-kecilan kerana banyak melibatkan urusan pinjaman, lesen atau tender sehingga ada yang beranggapan ‘kalau berniaga, tak merasuah itu tidak sah’.

“Kita bimbang kerana rasuah dilihat sudah menjadi budaya dalam dunia perniagaan,” katanya kepada kru Rasuah Busters baru-baru ini.

Menurut Firdaus lagi, bagi sesetengah masyarakat yang sedar akan bahayanya rasuah, masing-masing perlu bangkit membanteras gejala tersebut dengan sebaik mungkin termasuk membenci sepertimana membenci jenayah yang lain.

“Alhamdulillah Sinar Harian menganjurkan Rasuah Busters dan saya harap ia menjadi platform kepada sesiapa yang ingin bangkit memerangi jenayah rasuah,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai faktor utama seseorang individu sukar atau tidak mampu menolak rasuah, beliau berpendapat, ia disebabkan kurang kefahaman ilmu agama.

Beliau menjelaskan bahawa masyarakat akan takut untuk mendekati rasuah dan jenayah lain jika ajaran agama difahami dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, kita perlu fahami agama dan menerapkannya dalam kehidupan seharian.

“Itu formula terbaik mendidik masyarakat dalam menilai keputusan mereka sama ada mahu menerima atau memberi rasuah bagi kepentingan sendiri,” katanya.