Yayasan Ikhlas sumbang RM3.8 juta PPE untuk 'frontliners'

Zaini (kiri) bersama Zainur Rashid melihat set PPE yang disumbangkan Yayasan Ikhlas sempena majlis penyerahan sumbangan bagi petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan cawangan penyakit berjangkit hari ini. - Foto Bernama
Zaini (kiri) bersama Zainur Rashid melihat set PPE yang disumbangkan Yayasan Ikhlas sempena majlis penyerahan sumbangan bagi petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan cawangan penyakit berjangkit hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Yayasan Ikhlas telah menyalurkan sumbangan RM3.8 juta sejak Mac tahun lalu hingga kini, bagi keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, sumbangan itu membabitkan 140,000 set PPE yang telah diagihkan kepada jabatan kesihatan negeri khususnya di Selangor, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Kedah dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan sebagai tanda soladiriti pihaknya kepada petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus mendepani pandemik Covid-19 sejak 18 bulan lalu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyumbang khususnya dalam kalangan ahli korporat dan dermawan. Malah, setakat ini sumbangan yang tertinggi diterima adalah daripada Permodalan Nasional Berhad bernilai RM1.44 juta.

“Menerusi program Tabung Wira Covid-19 ini juga ia secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan ekonomi kepada mereka yang terlibat termasuk wanita golongan asnaf, ibu tunggal dan mereka yang hilang pekerjaan memandangkan PPE berkenaan dihasilkan daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan sebanyak 10,500 PPE bernilai RM307,350 kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin di JKNK Cawangan Penyakit Berjangkit, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zainur berkata, pihaknya menyasarkan dana sejumlah RM2 juta yang akan diperoleh sebelum menjelang akhir tahun ini bagi kegunaan bantuan yang sama.

“Kami harap program ini akan diteruskan memandangkan wabak ini belum berakhir. Setakat ini kami menyasarkan akan peroleh sebanyak RM2 juta lagi untuk kegunaan bulan ini, November dan juga Disember nanti bergantung kepada situasi pandemik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Dr Zaini berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Ikhlas atas sumbangan yang diberikan.

“Dengan adanya sumbangan ini ia dapat mengurangkan sedikit beban JKNK dari segi kewangan. PPE ini sangat penting bukan sahaja dalam tempoh pandemik tetapi apa-apa keadaan di fasiliti kesihatan untuk pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit,” katanya. - Bernama