MAINS salur RM70 juta agihan zakat dari Januari - September

Abdul Aziz - Foto Bernama
Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyalurkan sejumlah RM70.7 juta bantuan agihan zakat kepada golongan asnaf di negeri itu sejak Januari sehingga bulan lepas.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, MAINS juga telah meningkatkan jumlah pemberian zakat iaitu minimum RM500 hingga RM800 setiap bulan kepada penerima, mengikut tanggungan ahli keluarga.

“Jumlah pemberian zakat itu ditingkatkan selepas mengambil kira Pendapatan Garis Kemiskinan negara kini diparas RM2,208. Sebelum ini pemberian zakat di negeri ini ditetapkan RM250 setiap isi rumah, tanpa mengira berapa bilangan ahli keluarga.

“Jadi, kita lakukan perubahan dengan menaikkan jumlah pemberian zakat RM500 hingga RM800 sebulan kepada penerima, mengikut bilangan tanggungan ahli keluarga,” katanya selepas merasmikan program 'Oktober Bulan Kaunseling' di Menara MAINS di sini pada Khamis.

MAINS juga menyasarkan kutipan zakat dapat ditingkatkan kepada RM200 juta tahun ini berbanding RM178 juta yang diraih pada tahun lepas.

Sementara itu, dalam program pada Khamis, Abdul Aziz berkata, MAINS telah mengadakan 1,851 sesi kaunseling bagi tempoh Januari sehingga bulan lepas dengan masalah rumah tangga adalah tertinggi iaitu menerima 400 aduan.

Beliau berkata, MAINS mempunyai 17 kaunselor bertauliah di negeri ini bagi membantu golongan yang mempunyai masalah rumah tangga, pengangguran, kerjaya, pelajaran dan peribadi. - Bernama

Artikel Berkaitan: