Permit niaga sementara untuk rakyat terkesan di Selangor

Amirudin (tiga dari kiri) merakamkam gambar bersama penerima lesen sementara pada Program Pembangunan Usahawan @ Shah Alam yang berlangsung di Auditorium Wisma MBSA pada Khamis.
Amirudin (tiga dari kiri) merakamkam gambar bersama penerima lesen sementara pada Program Pembangunan Usahawan @ Shah Alam yang berlangsung di Auditorium Wisma MBSA pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meneruskan pemberian permit niaga sementara kepada rakyat negeri ini yang terjejas akibat Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi tahun ini, sekitar 4,000 ke 5,000 permit peniagaan sementara telah diberikan kepada pihak terlibat untuk tempoh setahun.

Menurut Amirudin, pihaknya memahami situasi di mana ada dalam kalangan rakyat negeri ini yang terkesan selepas hilang punca pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Pada tahun lalu juga kita telah mengeluarkan sebanyak 3,000 permit niaga sementara kepada rakyat negeri ini.

"Kita bagi tempoh setahun terlebih dahulu untuk lihat prestasi dalam perniagaan yang diusahakan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan @ Shah Alam yang berlangsung di Auditorium Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail; Exco Pertanian dan Perladangan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor.

Pada majlis sama, Amirudin turut berkesempatan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSA dan beberapa agensi milik kerajaan negeri yang turut sama dalam program tersebut.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sewaktu penutupan sektor industri sebelum ini, ramai pihak dilihat cuba untuk beralih ke bidang perniagaan selepas mereka kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu pada saya, majlis tempatan tak boleh hukum sewenang-wenangnya peniaga atau penjaja ini tapi dalam masa sama kita mudahkan cara dan beri nasihat bersesuaian tentang lokasi dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Zamani menerusi ucapan pembukaannya pada majlis berkenaan berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang program tersebut bagi memberi ruang dan peluang kepada MBSA mendekati para peniaga.

Katanya, antara aktiviti yang berlangsung adalah Taklimat Perundangan dan Peraturan Pelesenan, Taklimat Skim Inisiatif Peduli Rakyat oleh Yayasan Hijrah Selangor dan sesi perkongsian usahawan berjaya.