X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

DBKL roboh stor haram

Struktur kediaman dijadikan stor di Jalan Batu Belah, Pusat Bandar Utara dirobohkan dalam operasi tindakan khas oleh DBKL pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah struktur stor yang dibina tanpa kelulusan perintah pembangunan di Jalan Batu Belah, Pusat Bandar Utara dirobohkan dalam operasi tindakan khas oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Khamis.

Unit Media DBKL menerusi kemas kini di Facebook berkata, tindakan dilaksanakan hasil maklumat dan aduan awam serta pemantauan oleh pasukan Teknikal Pembangunan DBKL.

Menurut kenyataan itu, notis penguatkuasaan telah diberikan kepada pemilik premis itu namun ingkar mematuhi arahan yang ditetapkan sehingga tempoh notis tersebut tamat.

"Tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 70, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Seksyen 26, Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 melibatkan kesalahan mendirikan struktur tambahan tanpa kebenaran.

"Pemilik turut melakukan kesalahan menukar kegunaan sebahagian lot daripada kediaman kepada stor (simpanan barang-barang perniagaan) tanpa perintah pembangunan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, tindakan sita dan pindah barangan turut dilakukan terhadap premis berkenaan dan kesemua barangan dihantar ke Stor Sitaan DBKL untuk proses penyimpanan dan dokumentasi.

Unit media DBKL berkata, pihaknya memandang serius terhadap sebarang pembinaan tambahan struktur haram dan menukar aktiviti kegunaan kediaman kepada stor atau perniagaan tanpa kelulusan perintah pembangunan.

"Tindakan ini akan menyebabkan masalah kacau ganggu, kesesakan lalu lintas dan kebersihan di kawasan kediaman sedia ada di Kuala Lumpur.

"Semua pemilik kediaman atau mana-mana premis dinasihatkan agar mengikuti garis panduan dan membuat permohonan kebenaran pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang kerja-kerja pengubahsuaian atau pembinaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!