Sila log masuk terlebih dahulu.

Polis Pulau Pinang tambah pasukan pemantau SOP

Fisol (tiga dari kanan) menerima replika kunci kereta polis Proton X70 daripada Pengurus Besar Kanan Inari Tecnology Sdn Bhd, BS Ooi pada Khamis.
Fisol (tiga dari kanan) menerima replika kunci kereta polis Proton X70 daripada Pengurus Besar Kanan Inari Tecnology Sdn Bhd, BS Ooi pada Khamis.
A
A
A

BATU KAWAN - Polis Pulau Pinang menambah jumlah pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) daripada 114 kepada 150 pasukan bagi memantau kemasukan kira-kira 50,000 pengunjung ke negeri ini bermula Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi kebanjiran pengunjung selepas kerajaan membenarkan rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.

Menurutnya, 150 pasukan itu melibatkan kira-kira 2,000 anggota dan pegawai yang akan berada di lapangan untuk memantau serta memastikan pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung.

"Walaupun kesemua 36 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri telah dihentikan namun kita akan menggantikan dengan 'snap check' di beberapa lokasi tumpuan orang ramai.

"Jadi, kita akan tambah pasukan 'snap check' daripada 60 kepada 90 pasukan. Ini yang kita sedang persiapkan untuk menghadapi kemasukan pengunjung bermula Jumaat ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kereta Polis Proton X70 kepada Polis Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Fisol berkata, anggota polis trafik juga akan ditugaskan untuk memantau dan menjaga aliran lalu lintas berikutan jangkaan pertambahan kenderaan sehingga Selasa depan.

"Hari minggu ini merupakan hari minggu yang panjang kerana Selasa merupakan hari cuti umum. Oleh itu, polis trafik akan memastikan aliran lalu lintas berjalan lancar.

"Selain itu, polis pelancong juga akan membuat rondaan dan pemantauan di lokasi pelancongan antaranya di kawasan pantai dan taman rekreasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pulau Pinang menjangkakan sekitar 50,000 pelancong akan mengunjungi negeri itu hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri di seluruh negara bermula 11 Oktober lalu.

Exco Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata, persiapan bagi menyambut kedatangan pelancong sudah pun dilakukan pemain-pemain industri pelancongan di negeri itu.

Pada Rabu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah bersiap siaga dalam menghadapi kemasukan kira-kira 50,000 pengunjung pada hujung minggu ini apabila membekukan cuti 2,342 kakitangannya.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang dilaporkan berkata, jumlah itu adalah 77.6 peratus daripada 3,109 jumlah keseluruhan kakitangan MBPP.

Katanya, tempoh pembekuan cuti rehat bermula pada 15 sehingga 19 Oktober ini.