X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Sistem cukai lebih seimbang diperkenal jika ekonomi makin baik

Mohd Shahar Abdullah- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan satu sistem percukaian yang lebih seimbang dan saksama sekiranya ekonomi negara berada dalam keadaan yang lebih baik, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, sebarang langkah cukai yang akan dilaksanakan kelak sudah pasti mengambil kira libat urus bersama pihak berkepentingan.

"Kita akui sebagaimana yang telah kerajaan nyatakan bahawa sistem percukaian ini mestilah bersifat lebih seimbang, adil dan saksama dalam kita mengaut hasil negara untuk kita pulangkan kepada rakyat.

"Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang amat prihatin. Ia tidak akan memperkenalkan langkah-langkah cukai tanpa mengambil kira faktor kebajikan rakyat, kemantapan dan kelangsungan ekonomi negara khususnya kepada peniaga," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu sama ada kerajaan akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan tempoh pelaksanaannya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Senator N. Balasubramanian sama ada kerajaan berjaya melaksanakan kaedah percukaian alternatif seperti cukai keuntungan luar biasa dan cukai keuntungan, Mohd Shahar berkata setakat ini kerajaan belum melaksanakan cukai keuntungan modal (CGT) sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, inisiatif dan kajian yang berterusan sedang dijalankan untuk menstruktur suatu sistem percukaian yang lebih seimbang, adil dan saksama supaya dapat menyokong serta meningkatkan hasil negara.

"Kerajaan perlu memastikan langkah-langkah cukai yang akan dilaksanakan tidak membebankan rakyat, tidak menjejaskan kedudukan ekonomi dan dapat mempertingkatkan daya saing negara selaras dengan Pelan Pemulihan Negara," katanya.

Mohd Shahar menjelaskan, sejak 1999, kerajaan telah melaksanakan Akta Levi Keuntungan Luar Biasa (Akta 592) yang dikenakan ke atas amaun untung yang melebihi paras nilai ambang harga pasaran minyak sawit mentah iaitu RM2,500 satu tan bagi Semenanjung dan RM3,000 satu tan bagi Sabah dan Sarawak.

Katanya, pengenaan levi ke atas sawit telah berjaya memberi hasil tambahan kepada kerajaan sebanyak RM4.1 bilion sejak diperkenalkan sehingga September lepas.

"Kerajaan mengambil maklum pandangan pelbagai pihak supaya levi keuntungan luar biasa dikenakan kepada perniagaan tertentu yang menjana keuntungan yang berlipat ganda semasa krisis pandemik Covid-19," ujar beliau. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!