Selangor benar 2,000 jemaah solat Jumaat di Masjid Negeri

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor membenarkan sehingga 2,000 jemaah bersolat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) termasuk pentadbir dalam tempoh Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pertambahan jemaah dibuat hanya untuk solat Jumaat bermula minggu ini.

''Bagi solat lima waktu, ia sama seperti yang dimaklumkan pada September lalu," katanya menerusi perkongsian info grafik Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor di laman Facebooknya pada Rabu.

Selain masjid negeri, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Fi Sabilillah Cyberjaya masing-masing membenarkan 700 jemaah manakala Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang serta Masjid Daerah dibenarkan sehingga 600 jemaah.

Seramai 500 jemaah dibenarkan di Masjid Institusi; 400 di Masjid Pengurusan; 350 di Masjid Kariah dan 250 di surau kebenaran solat Jumaat.

Menurut perkongsian itu, mana-mana pegawai masjid, surau kebenaran solat Jumaat serta pentadbir musala yang belum mengambil suntikan vaksin tidak dibenarkan untuk mengendalikan pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu.

Pada masa sama, pegawai dan pentadbir yang belum mengambil vaksin lengkap juga tidak dibenarkan mengendalikan aktiviti pengimarahan yang lain.

Sekiranya terdapat dalam kalangan mereka yang masih enggan untuk mengambil suntikan vaksin hendaklah dilaporkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Artikel Berkaitan:

Pada September lalu, Selangor membenarkan sehingga 1,000 jemaah bersolat Jumaat di Masjid Negeri manakala 500 jemaah bagi masjid lain dalam tempoh Fasa 2 PPN.