Tukang jahit OKU selesa berdikari sara keluarga

Mohd Alamin Jais, melakukan kerja-kerja memasang zip yang rosak pada seluar ketika ditemui Bernama di premisnya di Stesen Bas MBKT baru-baru ini. - Foto Bernama
Mohd Alamin Jais, melakukan kerja-kerja memasang zip yang rosak pada seluar ketika ditemui Bernama di premisnya di Stesen Bas MBKT baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Berpegang kepada pepatah Melayu itu, Mohd Alamin Jais, 47, tidak pernah menjadikan kecacatan kedua-kedua belah tangan (jari yang tidak sempurna) sejak lahir sebagai alasan untuk hidup berdikari dan menyara keluarga.

Ketika ramai dalam kalangan golongan kurang upaya (OKU) yang masih lagi mengharapkan bantuan dan sumbangan pihak tertentu untuk meneruskan hidup, Mohd Alamin lebih selesa menjadi seorang tukang jahit seluar meskipun pendapatan bulanan hanya ‘cukup-cukup’ makan sahaja bagi menampung keperluan keluarganya.

Setiap hari juga beliau gigih berulang-alik dari rumahnya di Kampung Belukar Sukai, Kepong, menggunakan motosikal ke kedainya yang terletak di aras tiga, Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sejak 14 tahun lalu.

“Saya memang minat menjadi tukang jahit sejak kecil lagi. Minat itu datang selepas melihat arwah ibu yang mahir menjahit sering menerima tempahan daripada orang kampung, menjahit baju ketika musim perayaan atau lain-lain.

“Daripada situ saya menanam azam untuk mewarisi bakat ibu dan mula mengikuti kursus jahitan di Bengkel Pemulihan Kebajikan Masyarakat, Pulau Kerengga, Marang, 27 tahun lalu,” katanya kepada Bernama.

Beliau kemudiannya membuka perniagaan di Pusat Penerangan Pelancongan Kuala Terengganu sebelum berpindah ke lot kedai di stesen bas itu dengan modal simpanan sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

Mohd Alamin yang mempunyai seorang isteri dan lima anak berumur dalam lingkungan dua hingga 14 tahun selesa mengusahakan perniagaannya secara bersendirian meskipun kadangkala tidak menang tangan melayani pelanggan yang menghantar seluar mereka kepadanya (untuk diubah suai).

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah setakat ini tiada pelanggan yang merungut atau tidak puas hati dengan jahitan saya...mereka pun faham...dan saya akan berterus terang jenis perkhidmatan yang mampu saya buat.

“Contohnya, kalau potong dan sambung kaki seluar saya boleh siapkan dalam masa setengah jam...kalau untuk bahagian yang rumit seperti mengecil atau membesarkan saiz seluar, yang memerlukan saya membuka keseluruhan jahitan, ambil masa tiga atau empat hari juga,” katanya.

Namun, katanya sejak kebelakangan ini, pendapatannya semakin berkurangan daripada RM1,000 kini hanya mampu memperoleh RM500 sebulan berikutan kurangnya pengunjung yang singgah membeli-belah di kawasan lot kedai tempat beliau menjalankan perniagaannya.

“Alhamdulillah, saya sekeluarga ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400, dan saya juga layak menerima Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang telah memberikan kediaman kepada saya sekeluarga yang pembinaannya siap baru-baru ini... dapatlah kami tinggal dalam rumah dengan lebih selesa.

“Tetapi selagi kudrat saya masih ada insya-Allah saya akan teruskan menjahit bagi menampung keperluan anak-anak dan isteri kerana bagi saya ‘tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima’,” katanya.- Bernama