Pemulihan bekalan air dijangka lebih awal: Amirudin

Amirudin memuat naik status di Facebook beliau pada Rabu.
Amirudin memuat naik status di Facebook beliau pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja pembaikan dan penyelenggaraan aset air berjalan lancar dan dijangka pulih lebih awal dari jadual asal.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau dimaklumkan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kerja penyelenggaraan telah mencapai tahap 76.4 peratus pada jam 3 petang Rabu.

"Pelaksanaan ini lebih awal dari jadual asal iaitu 65 peratus. Kerja pembaikan dan penyelenggaraan dijangka siap pada malam ini.

"InsyaALLAH, bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat selepas itu mengikut jadual," katanya menerusi status di Facebook pada Rabu.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan, sejumlah 998 kawasan sekitar Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula pada Rabu hingga Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, gangguan disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dihenti tugas untuk memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal.

Antara kawasan disenarai terjejas berikutan gangguan bekalan air ialah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Artikel Berkaitan: