COP15: Presiden Xi kongsi cara China lindungi kepelbagaian biologi

Presiden Xi Jinping
Presiden Xi Jinping
A
A
A

BEIJING - Presiden China, Xi Jinping berkata, perlindungan kepelbagaian biologi memainkan peranan amat penting dan bermanfaat bagi memelihara Bumi serta menggalakkan pembangunan manusia yang lestari.

Beliau berkata, antara kaedah dan panduan yang boleh dikongsi China adalah masyarakat antarabangsa perlu membina komuniti berkongsi nasib sesama makhluk Bumi berpandukan pembinaan tamadun ekologi.

“Demi merealisasikan matlamat itu, transformasi hijau perlu diwujudkan untuk memacu pembangunan global yang berterusan, selain mendorong kesaksamaan dan keadilan masyarakat berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama menerusi video pada Persidangan ke-15 Pihak-pihak (COP15) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) yang diadakan secara hibrid di Yunnan pada Selasa.

Untuk rekod, perlindungan kepelbagaian biologi telah menjadi strategi China pada peringkat kebangsaan dan dalam tempoh sedekad lalu, jumlah peningkatan keluasan hutan melebihi 70 juta hektar, sekali gus menduduki tempat pertama dunia.

Pada masa sama, China juga berusaha untuk menggalakkan perlindungan kepelbagaian biologi di seluruh dunia.

Pada persidangan kali ini, Xi mengumumkan China akan memperuntukkan sejumlah RMB 1.5 bilion (RM943.5 juta) untuk mewujudkan Tabung Kepelbagaian Biologi Kunming dan menyokong usaha di negara-negara membangun.

Selain itu, China akan mengeluarkan pelan tindakan dan siri langkah sokongan untuk mencapai puncak pelepasan karbon dioksida dalam bidang dan sektor utama, membentuk sistem dasar yang melibatkan pencapaian puncak pelepasan karbon dioksida, status neutral karbon dan '1+N'.

Artikel Berkaitan:

Dengan memanfaatkan peluang penyertaan persidangan kali ini, China juga akan menggalakkan pembentukan 'Kerangka Kepelbagaian Biologi Global Pasca 2020', dan memberi sumbangan lebih banyak kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama makhluk Bumi. - Bernama