4.36 tan metrik sisa elektrik, elektronik dikumpul

Sisa elektrik dan elektronik yang berjaya dikumpulkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) dan SWM Environment.
Sisa elektrik dan elektronik yang berjaya dikumpulkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) dan SWM Environment.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) dan SWM Environment mengumpulkan sebanyak 4.36 tan metrik sisa elektrik dan elektronik dari tempoh Januari hingga bulan lalu.

Pengarah JASNS, Azuri Azizah Saedon berkata, bahan buangan berkenaan diperoleh daripada komuniti setempat menerusi program pengumpulan barangan sisa elektronik yang dilaksanakan taman perumahan terpilih di daerah Seremban.

Menurutnya, antara kawasan terlibat ialah ialah Taman Alamanda, Taman Murugesu, Taman Bukit Ampangan, Laman Cenderawasih dan Taman Embun Timur.

“Antara sisa elektrik dan elektronik yang dikumpulkan ialah komputer riba, mesin pencetak, televisyen, periuk elektrik, peti ais dan mesin basuh,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau memberitahu, kerjasama dengan SWM Environment bertujuan menyelamatkan sisa elektrik dan elektronik yang boleh dikitar semula daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Ujarnya, logam berat dalam sisa elektrik dan elektronik berpotensi melarut resap di tapak pelupusan sampah serta mencemarkan air di permukaan dan bawah tanah jika tidak diuruskan dengan baik.

"Justeru, kempen pengumpulan barang sisa elektronik ini amat penting bagi memastikan orang ramai bertanggungjawab melaksanakan kaedah pelupusan yang betul dan selamat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Sisa elektrik dan elektronik yang dijana hendaklah dikitar semula melalui konsep ‘circular economy’," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Azuri Azizah, sumber bernilai yang boleh diperoleh daripada buangan elektrik dan elektronik mampu menyumbang kepada pembangunan lestari dan kemajuan alam sekitar.

Selain itu katanya, JASNS turut mempromosikan kaedah kitar semula yang lebih interaktif bersama pihak SWM Environment melalui program KITARecyle SWM Environment.

"Program KITARecycle SWM Environment ialah program kitar semula berganjaran yang memberi peluang kepada ahli KITARecycle mengumpul mata ganjaran melalui amalan berkenaan," katanya.