Kerajaan lulus 37 syarikat import 285,700 tan metrik gula putih

KPDN ingin menegaskan bahawa bekalan gula putih bertapis dalam negara adalah mencukupi untuk kegunaan industri dan domestik.
KPDN ingin menegaskan bahawa bekalan gula putih bertapis dalam negara adalah mencukupi untuk kegunaan industri dan domestik.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah memberi kelulusan kepada 37 syarikat untuk mengimport 285,700 tan metrik bekalan gula putih bertapis sepanjang tahun ini, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, kelulusan itu merupakan satu langkah proaktif bagi memastikan kestabilan bekalan gula dengan memudah cara proses kelulusan permit import (AP) gula putih bertapis.

Menurut KPDN, kerajaan juga bersetuju membenarkan syarikat pengimport membungkus gula berkenaan dalam pek satu kilogram untuk pasaran runcit dan dijual pada harga kawalan semasa iaitu RM2.85 sekilogram (gula kasar) dan RM2.95 sekilogram (gula halus).

"KPDN ingin menegaskan bahawa bekalan gula putih bertapis dalam negara adalah mencukupi untuk kegunaan industri dan domestik,” menurut kenyataan itu.

Mengenai bekalan gula bertapis bagi pek sekilogram dan 2 kilogram yang juga dikenali sebagai 'gula rakyat', KPDN komited memastikan bekalan itu diedarkan sekurang-kurangnya 42,000 tan metrik setiap bulan oleh MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) bagi menampung keperluan rakyat termasuk penjaja serta peniaga kecil.

Menurut KPDN, jumlah minimum tersebut adalah mencukupi bagi keperluan isi rumah yang dianggarkan penggunaan sebulan iaitu sebanyak 20,800 tan metrik. - Bernama