X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 19 Mei 2022

Pulau Batu Puteh: Bimbang Singapura tuntut kawasan lain

Pulau Batu Puteh. (Gambar kecil, Mohd Fared)
A
A

JOHOR BAHRU- Kehilangan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca memungkinkan Singapura bakal meneruskan tuntutannya kepada lain-lain wilayah yang berada dalam radius 12 batu nautika dari pulau itu.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, Pulau Batu Puteh cukup penting kepada garisan maritim negeri ini.

"Bukan sahaja menetapkan luasnya wilayah Johor Darul Takzim yang berdaulat ini, bahkan jauh lebih besar ia menentukan kekuasaan dan keluasan perairan Malaysia.

"Hilangnya Pulau Batu Puteh boleh memberi kesan kepada kebarangkalian Singapura meneruskan pula tuntutannya kepada lain-lain wilayah yang berada dalam radius 12 batu nautika dari 'Pedra Branca' itu," katanya menerusi catatan di Facebook.

Mohd Fared berkata, kesungguhan kerajaan pada masa kini, yang bersetuju menyemak semula perkara berkaitan ketuanan Pulau Batu Puteh amat tepat dalam usaha mengembalikan kedaulatan pulau itu kepada Johor.

"Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008 memutuskan Pulau Batu Puteh milik Singapura. Namun kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada tahun 2017 telah memfailkan permohonan semakan untuk mahkamah mentafsirkan semula penghakiman itu.

"Namun sayang, beberapa hari sebelum tarikh bicara semakan penghakiman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Jun 2018, kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan telah menarik balik permohonan semakan itu," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu dilaporkan membuat keputusan terhadap tiga kes penting termasuk semakan semula undang-undang berkenaan Pulau Batu Puteh selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Jemaah Menteri juga bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen sesuai dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Usaha ini bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh. Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pada masa sama, Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah 'tort of misfeasance' ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsir.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!