Seorang lagi penjawat awam direman bantu siasat kes rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lagi penjawat awam direman tiga hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

Perintah reman bermula Rabu sehingga Jumaat terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini pada Rabu.

Pada Selasa, media melaporkan dua kakitangan agensi yang sama direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kedua-dua suspek berusia 37 dan 40 tahun itu disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan.

Pada Isnin, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan kedua-dua suspek itu pada jam 2.30 petang di sebuah restoran di Putrajaya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: